KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor mencatatkan kes pertamanya selepas pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya apabila menahan tiga lelaki dekat perairan berhampiran Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, di sini semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menahan lelaki berusia antara 36 hingga 58 yang terdiri daripada seorang warga tempatan dan dua warga Indonesia.
Menurutnya, ketika ditahan lelaki tempatan yang dipercayai tekong bot tersebut gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan bot kepada pihak berkuasa.
“Kedua-dua kru itu pula tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah sebelum bot dan kesemuanya dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohammad Rosli menambah, ketiga-tiga lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 474(1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu beroperasi tanpa lesen bot serta Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemilik dan tekong bot supaya mematuhi undang-undang di laut dengan memastikan bot mempunyai lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa.
“Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 yang beroperasi 24 jam atau talian kecemasan MERS 999,” ujarnya.-UTUSAN
HABIS










