SK Bandar Putra 2 mula operasi tahun ini, surai kesesakan sekolah padat

SK Bandar Putra 2 mula operasi tahun ini, surai kesesakan sekolah padat

TIMBALAN Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh (tengah) mengadakan lawatan tapak ke SK Bandar Putra 2 di Kulai, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra 2 di sini yang akan mula beroperasi pada tahun ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan di dua buah sekolah berhampiran iaitu SK Bandar Putra yang mempunyai 2,165 murid dan SK Putra Utama yang mempunyai 1,302 murid.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, walaupun belum beroperasi, SK Bandar Putra 2 itu sudah menerima pendaftaran kemasukan Tahun 1 bagi 2027 melebihi 230 orang.

Beliau berkata, pada peringkat permulaan, sesi persekolahan SK Bandar Putra 2 hanya akan membabitkan kelas Tahun 2, 3 dan 5 pada tahun ini sebelum beroperasi sepenuhnya tahun depan.

“Kita sedang mengadakan sesi libat urus bersama dengan ibu bapa bersama pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi tujuan penyuraian atau pemindahan murid dari SK Bandar Putra dan SK Putra Utama ini.

“Kita akan lihat permintaan ibu bapa sama ada mereka mahu anak mereka berpindah ke sekolah ini atau kekal di sekolah asal, kita berikan pilihan bagi tahun pertama pengoperasiannya,” katanya selepas mengadakan lawatan tapak ke SK Bandar Putra 2, di sini hari ini.

Tambah Kah Woh, projek pembinaan SK Bandar Putra 2 yang bernilai RM35.6 juta itu dimulakan pada Ogos 2021 dan diserahkan kepada KPM pada November tahun lalu.

“Sekolah ini mempunyai 36 bilik darjah dengan tiga kelas prasekolah yang mana dua adalah prasekolah perdana dan satu lagi adalah prasekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) selain dua lagi kelas PPKI.

“SK Bandar Putra 2 boleh menampung seramai 1,260 murid tidak termasuk prasekolah dan juga PPKI dengan mengambil kira sebuah kelas berkapasiti 35 murid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN