Bapa tunggal dipenjara tujuh bulan ugut ibu, curi kabel

Bapa tunggal dipenjara tujuh bulan ugut ibu, curi kabel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang bapa tunggal dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Yong Peng hari ini selepas mengaku bersalah mengugut ibu kandungnya serta menyimpan kabel curi, awal bulan ini.

Tertuduh, Johari Ramlan, 36, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret, Arun Noval Dass selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pengutip barangan lusuh itu didakwa menakutkan secara jenayah dengan kata-kata ‘mak, malam ini anak beranak habis saya sembelih’ terhadap ibu kandungnya yang berusia 74 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kelichap, Senggarang dekat sini pada pukul 9 pagi, 2 April lalu.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki dawai tembaga yang diperoleh dengan mencuri di sebuah rumah terbiar di Jalan Sungai Suluh Besar, Senggarang, 3.20 petang, 17 April lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 7 tahun, denda, atau kedua-duanya, bergantung kepada tahap serius ugutan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dipenjara setahun atau denda sehingga RM1,000.

Menurut fakta kes, tertuduh mengugut dan memarahi ibunya kerana tidak berpuas hati terhadap wanita terbabit semasa berada di rumah dengan melontarkan kata-kata ‘aku nak sembelih satu keluarga’ terhadap ibu kandung yang menyebabkan wanita berkenaan ketakutan.

Siasatan mendapati tertuduh bertindak demikian kerana marah selepas ibunya tidak membenarkan tertuduh menggunakan telefon. Kejadian berkenaan disaksikan kakak ipar sebelum ibunya membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×