Filem Libang Libu angkat perpaduan, dibarisi pelakon kelas ‘A’ - Utusan Malaysia

Filem Libang Libu angkat perpaduan, dibarisi pelakon kelas ‘A’

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri perfileman tempatan bakal kembali meriah dengan kemunculan filem komedi-drama berjudul Libang Libu yang dijadual mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 23 April ini.

Mengetengahkan naratif perpaduan dalam suasana santai dan dekat dengan realiti masyarakat, filem ini hadir tepat pada waktunya dengan menampilkan gabungan pelakon hebat terdiri daripada nama-nama besar yang pernah meraih pelbagai pengiktirafan dalam industri seni tempatan.

Dalam landskap filem Malaysia hari ini, penonton dilihat semakin kurang disajikan dengan naskhah yang memberi ruang untuk mereka berehat sambil menikmati hiburan ringan. Kebanyakan karya mutakhir lebih menjurus kepada tema berat dan intens yang menuntut emosi serta tumpuan mendalam.

Sehubungan itu, Libang Libu tampil mengisi kekosongan tersebut dengan membawa semula pengalaman menonton yang santai, menghiburkan dan mencuit hati tanpa perlu terlalu sarat dengan beban pemikiran.

Diterbitkan oleh Tangerine Films Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Bobby Husaini, filem ini mengisahkan sebuah produksi filem bukan Melayu yang menjalankan penggambaran di sebuah kampung Melayu di Perak.

Pertembungan budaya, agama serta gaya hidup menjadi tunjang utama penceritaan yang disulam dengan elemen komedi dan drama yang cukup dekat dengan kehidupan sebenar rakyat Malaysia.

Antara pelakon yang membintangi filem ini ialah Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Khir Rahman dan Azhan Rani.

Turut memeriahkan naskhah ini ialah penampilan khas Datuk Yusof Haslam, Bront Palarae dan Nadiya Nisaa.

Menurut Bobby Husaini, Libang Libu bukan sekadar sebuah filem hiburan, sebaliknya membawa mesej yang lebih besar tentang kebersamaan dan nilai kehidupan masyarakat majmuk.

“Apa yang membezakan Libang Libu dengan karya lain ialah keupayaannya menghidupkan semula pengalaman menonton yang santai tetapi bermakna.

“Penonton dapat menikmati gelak tawa bersama keluarga dan rakan-rakan dalam suasana yang rileks. Ia bukan tentang mesej berat semata-mata, tetapi tentang momen yang dikongsi bersama,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan santai dan penuh drama yang dibawa filem tersebut mampu mengembalikan jenis hiburan yang sudah lama dirindui penonton tempatan.

“Penonton datang untuk ketawa dan pulang dengan rasa puas serta ‘feel good’ selepas menonton,” ujarnya.

Bobby turut menjelaskan pendekatan penceritaan filem itu dibina secara ringan tetapi berlapis supaya mesej perpaduan dapat disampaikan secara semula jadi tanpa bersifat terlalu mengajar.

“Kami tidak mahu mengajar secara langsung, tetapi mahu penonton merasai sendiri dinamika hubungan antara watak-watak ini.

“Dalam gelak tawa itu, ada sindiran halus tentang realiti sosial masyarakat kita,” katanya lagi.

Mengulas cabaran sepanjang penggambaran, beliau mengakui keseimbangan antara elemen komedi dan sensitiviti budaya merupakan aspek paling mencabar.

“Apabila menyentuh soal budaya dan agama, ia memerlukan penelitian yang sangat teliti.

“Kami banyak berbincang dengan pasukan produksi dan para pelakon supaya setiap adegan kekal autentik, jujur dan tidak menyinggung mana-mana pihak,” jelasnya.

Sementara itu, wakil penerbit Tangerine Films Sdn. Bhd. menyifatkan Libang Libu sebagai sebuah projek yang lahir daripada keyakinan terhadap kekuatan cerita tempatan.

“Kami percaya penonton hari ini mahukan kandungan yang dekat dengan kehidupan mereka.

Libang Libu menawarkan sebuah kisah Malaysia sebenar yang dipersembahkan dengan nilai produksi berkualiti serta dibarisi pelakon yang kredibel,” katanya.

Dengan durasi selama satu jam 47 minit, filem ini menjanjikan pengalaman tontonan yang menghiburkan, sarat emosi serta membawa mesej perpaduan, toleransi dan keindahan kepelbagaian budaya Malaysia.

Justeru, orang ramai tidak wajar melepaskan peluang untuk menyaksikan Libang Libu di pawagam berhampiran bermula 23 April ini, sebuah filem yang bukan sahaja mencuit hati, malah menyentuh jiwa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN