PUTRAJAYA: Malaysia menyokong diadakan debat jika sesuatu resolusi dikenakan veto oleh mana-mana lima negara ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu sejajar dengan usaha yang diperjuang Malaysia untuk menyaksikan pembaharuan majlis tersebut secara menyeluruh.
“Justeru, Malaysia mengalu-alukan penerimaan resolusi terkini Perhimpunan Agung PBB berhubung isu penggunaan veto oleh anggota tetap majlis itu,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Beliau merujuk kejayaan cadangan resolusi tersebut yang dibawa oleh wakil dari Liechtenstein dan beberapa lagi negara lain apabila diluluskan secara sebulat suara pada 26 April lalu.
Ia memberi mandat kepada Presiden Perhimpunan Agung PBB mengadakan mesyuarat rasmi dalam tempoh 10 hari setelah sesuatu resolusi dibatalkan ahli tetap Majlis Keselamatan.
Veto atau kuasa pembatal hanya dinikmati oleh lima negara yang disebut sebagai Big Five merujuk kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat (AS), Rusia, Britain, Perancis dan China.
Keistimewaan tanpa had bersifat mutlak itu membolehkan mereka membatalkan resolusi dibawa jika tidak memenuhi kepentingan negara berkenaan namun ia sering kali disalahgunakan. – UTUSAN










