Malaysia dibentuk tiga wilayah, Sabah dan Sarawak layak dapat TPM

Malaysia dibentuk tiga wilayah, Sabah dan Sarawak layak dapat TPM

MOHD FADZIL ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sarawak dan Sabah layak mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kerana peranan penting kedua-dua negeri berkenaan dalam Persekutuan Malaysia, kata Penolong Naib Canselor (Kepimpinan Dan Pembangunan) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman.

Beliau berkata untuk berlaku adil dan saksama, Malaysia terbentuk hasil daripada penggabungan Persekutuan Tanah Melayu bersama wilayah Sabah dan Sarawak.

Oleh sebab itu, tegas beliau, daripada segi peluang dan kesaksamaan sepatutnya peluang diberikanlah kepada wakil daripada Sabah dan Sarawak sebagai TPM untuk mewakili zon Borneo.

Beliau juga berpendapat pelantikan TPM dari Sabah dan Sarawak adalah bagi membolehkan kelangsungan pentadbiran kedua-dua negeri berkenaan dapat diberikan perhatian khusus, tidak seperti sebelum ini di mana ia dilihat bergantung kepada situasi dan permintaan semasa.

“Sebelum ini Sabah dan Sarawak banyak ketinggalan, jadi bila kita ada wakil yang mempunyai kedudukan sebagai timbalan perdana Menteri, suara itu semakin kuat dan pada masa yang sama ia juga akan membantu mengukuhkan sesama Malaysia antara wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung daripada segi pentadbiran kerana sudah ada wakil daripada sebelah timur,” katanya.

Mohd Fadzil berkata, isunya sebelum ini pemilihan TPM hanya dalam kalangan wakil rakyat dari Semenanjung, tetapi kini keadaan sudah berubah dan perlu dikaji semula untuk memberikan peluang kepada Sabah dan Sarawak.

“Kita tidak mahu hanya apabila berlaku kegoyahan politik di semenanjung seperti ketika ini barulah kita memikirkan perlunya memberi perhatian kepada Sabah dan Sarawak semata-mata ingin mendapatkan kerusi yang banyak di Parlimen supaya dapat mwmbentuk kerajaan.

“Amalan sedemikian bagi saya tidak sepatutnya berlaku kerana hanya memberi perhatian apabila memerlukan sokongan

“Apabila bercakap mengenai kesaksamaan, semua pihak harus sedar dan menerima hakikat bahawa nama Malaysia pun terbentuk atas permuafakatan bersama antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung,” katanya.

Beliau menambah, memandangkan permuafakatan itu berlaku 59 tahun yang lalu semasa pembentukan Malaysia, sudah tiba masanya untuk jawatan itu diagihkan supaya kuasa pentadbiran itu diberikan secara saksama bagi mewakili zon masing-masing.

Beliau berpendapat pengiliran jawatan TPM antara Sabah dan Sarawak amat sesuai sekali agar siapa yang menjadi TPM boleh melihat isu-isu pentadbiran berkaitan Sabah dan Sarawak, mewakili Kepulauan Borneo.

“Bagi saya pengiliran antara Sabah dan Sarawak untuk jawatan TPM sebenarnya membantu kerjaaan persekutuan untuk melihat hal ehwal di Sabah dan Sarawak secara lebih efektif,” katanya.

Menurut Mohd Fadzil, walauun ketika ini sudah jabatan ditubuhkan untuk melihat hal ehwal pentadbiran Sabah dan Sarawak, tetapi beliau berpendapat ia tidak memadai setakat peringkat jabatan.

“Sudah sampai masanya ada wakil dari Sabah dan Sarawak di dalam kabinet yang menduduki kedudukan tertinggi seperti TPM agar isu-isu pengagihan bajet, tuntutan perjanjian MA63 dan sebagainya diletakkan langsung di bawah bidang kuasa TPM untuk dibawa ke kabinet untuk dibincangkan, jadi kuasa itu nampaknya ada lebih kukuh berbanding dengan kaedah kita menguruskannya pada masa ini.

“Saya rasa jika semua pihak berpuas hati dan tidak menimbulkan sebarang rasa kurang senang, benda ini sudah pasti akan menstabilkan keadaan kerana masih ramai yang beranggapan bahawa perlantikan hanya di kalangan sebelah semenanjung, tetapi ramai yang sudah lupa semangat perjanjian MA63 di mana Malaysia tidak akan wujud tanpa kerjasama antara tiga pihak,” tambah beliau.

Oleh itu, katanya untuk mengukuhkan pembentukkan Malaysia maka sudah tiba masa untuk pelantikkan daripada Sabah dan Sarawak untuk duduk di kedudukan tertinggi dalam kabinet.

Tindakan ini menurut beliau tidak akan merugikan mana-mana pihak, malah kalau Sabah dan Sarawak maju, maka Malaysia akan turut maju.

“Cuma yang paling penting sekali kita jangan ada sentimen di semua pihak, baik Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak, jangan ada sentimen yang terlalu sentrik kepada wilayah ataupun negeri masing-masing.

“Yang paling penting adalah jika Sabah dan Sarawak maju bersama dengan kerajaan persekutuan maka Malaysia akan maju akan makmur,

“Jangan lihat lebih kepada kuasa, lihat kepada kemajuan setiap negeri dan wilayah kerana ia akan membantu mengukuhkan ekonomi dan memajukan kita sebagai sebuah negara, jadi semua pihak akan merasakan nasib mereka terbela,” kata Mohd Fadzil.

Menurut Mohd Fadzil lagi, kalau selepas mendapat jawatan TPM dan sekiranya masih ada isu, maka Sabah dan Sarawak tidak boleh lagi menyalahkan pihak lain kerana sudah ada wakil yang dilantik untuk melihat hal ehwal Sabah dan Sarawak,

Jadi untuk maju ke hadapan, Mohd Fadzil semua pihak usah lagi memikirkan isu-isu wilayah ataupun negeri, sebaliknya berfikir lebih kepada memajukan negara tetapi melalui pengagihan atau penurunan kuasa untuk menaikan nama Malaysia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN