MAIPk salur bantuan Baitulmal kepada ibu tunggal jaga 3 anak OKU

MAIPk salur bantuan Baitulmal kepada ibu tunggal jaga 3 anak OKU

SAIZANA Ermah Hamdan menjaga tiga anaknya yang merupakan OKU di Simpang Tiga, Rungkup di Bagan Datuk. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kesukaran hidup seorang ibu tunggal di Bagan Datuk menjaga tiga anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, 8 April lalu mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Dalam kenyataannya kepada akhbar ini, MAIPk berkata, pihaknya telah mengunjungi wanita itu, Saizana Ermah Hamdan, 35, yang menjaga tiga anaknya iaitu Muhammad Emariz Adam, 10; Aaira Syifaa, 5; Muhammad Afnan, 4.

Tiga beradik itu mengalami masalah pendengaran, masih belum boleh bercakap dan berjalan dan disahkan oleh doktor bahawa mereka mengalami penyakit dikenali global development delay atau perkembangan atau pembesaran lewat.

Menurut MAIPk, wanita itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seba­nyak RM1,500 sebulan atas nama sendiri bagi perbelanjaan ketiga-tiga anaknya dan bantuan tersebut merangkumi pembelian susu dan lampin pakai buang.

“Wanita itu juga ada menerima bantuan kecemasan segera daripada MAIPk berjumlah RM300 pada tahun 2020 dan dalam senarai nama penerima bantuan Hari Raya Tahun 2022.

“Dicadangkan kelulusan bantuan kewangan bulanan berjumlah RM300 di bawah kelulusan segera Pegawai Baitulmal Daerah,” katanya.

Menurut kenyataan MAIPk, Pegawai Baitulmal Daerah Bagan Datuk, Mohd. Shahmer Mahzuz Mohd. Zin dan Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Luar Bandar), Ahmad Faiz Sakri me­nyampaikan bantuan kecemasan segera berjumlah RM300 dan beras.

MAIPk menjelaskan, Saizanah merupakan ibu tunggal yang baru sahaja berpisah dengan suaminya pada Mac lalu.

Menurut MAIPk, wanita itu kini tinggal bersama anak-anak­nya di rumah milik sendiri di Kampung Simpang 3, Rungkup Bagan Datuk bersebelahan rumah ibu bapanya.

Katanya, bagi menambah perbelanjaan isi rumah, wanita itu menjalankan perniagaan dalam talian secara kecil kecilan dengan purata pendapatan bersih sebanyak RM150 dan RM200 sahaja.

“Wanita itu memberitahu anak-anaknya memerlukan pen­dingin hawa kerana tidak selesa dengan keadaan panas dan akan menangis serta keada­an tidak terkawal.

“Berikutan penggunaan kerap penghawa dingin, bil elektrik di rumahnya mencecah RM150 sebulan dan menyebabkan ada beberapa bulan dia tidak mampu menjelaskan bil elektrik.

“Keperluan utama wanita itu dan anak anaknya adalah perbelanjaan isi rumah. Wang bantuan yang diterima daripada JKM hanya mencukupi bagi perubatan anak-anaknya dan kekurangan pendapatan dalam perbelanjaan harian lain termasuk pembayaran bil elektrik,” katanya.

Sementara itu, orang ramai boleh memberi sumbangan kepada tiga beradik ini ke akaun ibu mereka, Saizana Ermah Hamdan di akaun Maybank 158387134942.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.