Empat termasuk kanak-kanak maut nahas lima kenderaan di Simpang Renggam

Empat termasuk kanak-kanak maut nahas lima kenderaan di Simpang Renggam

BEBERAPA anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan di Jalan Renggam-Simpang Renggam, hadapan Penjara Simpang Renggam tengah hari tadi. - IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Empat termasuk seorang kanak-kanak maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Renggam-Simpang Renggam berhampiran Penjara Simpang Renggam di sini, tengah hari tadi.

Nahas dipercayai berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari, membabitkan sebuah Perodua Alza, Proton Wira, Mercedes-Benz, BMW dan Toyota Vios.

Lima lagi mangsa yang berada dalam kenderaan terbabit dilaporkan selamat.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Semek Mat Soh, 73; Aiman Mohd. Rashid, 36; Nor Azlina Abd. Latip, 33, dan Nur Airish Syifa Sidek, 10.

Kesemua mangsa difahamkan beralamat di Taman Setia, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Ismail Mamat berkata, kesemua mangsa yang maut menaiki Toyota Vios.

Menurutnya, seorang daripada mangsa tercampak keluar daripada kenderaan sebelum terjatuh di atas bumbung sebuah Mercedes-Benz.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.16 tengah hari sebelum menggerakkan lima anggota ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati kemalangan membabitkan lima kenderaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dua mangsa yang cedera ialah pemandu Perodua Alza, Husnizam Hisamudin, 38, serta pemandu BMW yang identitinya masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, Ismail berkata, seorang lagi mangsa yang terselamat ialah pemandu Proton Wira, Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22.

Empat lagi mangsa yang selamat merupakan penumpang Mercedes-Benz iaitu Mohd. Azhar Ahmad, 63; anaknya, Muhammad Hariz Mohd. Azhar, 23; Rahimar A. Rahman, 57 serta seorang lagi penumpang wanita yang identitinya masih belum dikenal pasti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN