KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Che Puan Juliana Evans mengakui dirinya kini berada pada fasa kehidupan yang lebih matang apabila memilih untuk tidak lagi mengambil hati terhadap sikap atau layanan orang lain terhadap dirinya.
Menurut Juliana, pengalaman hidup telah banyak mengajarnya tentang nilai ketenangan dan kepentingan menjaga hubungan yang benar-benar ikhlas serta saling menghargai.
“Saya sudah sampai ke satu tahap dalam hidup di mana saya tidak lagi mengambil setiap sikap diam atau perubahan orang lain secara peribadi. Orang datang dan pergi dalam kehidupan kita, dan saya menerima hakikat itu dengan hati terbuka.
“Fokus saya sekarang adalah kepada keluarga, kerjaya dan hubungan yang bersifat saling menghormati, ikhlas serta tidak memerlukan paksaan. Saya sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk semua orang dan memilih untuk terus melangkah ke hadapan tanpa menoleh ke belakang,” katanya di Threads.
Mengulas mengenai cara berdepan individu yang pernah menyakitinya, Juliana berkata dia tidak percaya kepada tindakan membalas dendam atau menyimpan perasaan negatif.
“Salah satu kekuatan terbesar saya ialah mengetahui bila masanya untuk menjauhkan diri. Jika saya sudah memberikan kebaikan kepada seseorang tetapi dia memilih untuk menyakiti, saya tidak akan membalas dendam atau menyimpan dendam.
“Saya juga tidak gemar menggunakan sindiran atau mesej tersirat di media sosial untuk meluahkan rasa kecewa. Saya lebih selesa mengambil jarak dan menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan kerana saya percaya setiap perkara mempunyai hikmahnya,” ujarnya.
Tambah pelakon itu lagi, menjaga ketenangan diri tidak semestinya memerlukan penjelasan panjang atau pertelingkahan yang berpanjangan.
“Saya belajar bahawa melindungi ketenangan diri tidak memerlukan pergaduhan, pengumuman atau penjelasan kepada sesiapa. Kadangkala, tindak balas yang paling kuat ialah dengan memilih untuk berdiam diri dan menjauhkan diri secara tenang.
“Perkara itu terpakai kepada semua orang, termasuk ahli keluarga sendiri. Batasan yang saya tetapkan bukan bertujuan untuk menghukum sesiapa, sebaliknya sebagai satu cara untuk memelihara kesejahteraan emosi dan ketenangan hidup saya,” katanya.
Dalam masa sama, Juliana berharap setiap individu dapat menghormati keputusan orang lain yang memilih untuk menjaga ruang peribadi dan kesihatan mental masing-masing tanpa perlu dipersoalkan.
“Pada akhirnya, ketenangan adalah sesuatu yang sangat berharga. Apabila kita belajar menghargainya, kita juga akan belajar untuk memilih siapa dan apa yang layak berada dalam hidup kita,” katanya.










