Mahkamah tayang rakaman Siti Bainun layan penghuni

Mahkamah tayang rakaman Siti Bainun layan penghuni

SITI Bainun Ahd Razali hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam bagi perbicaraan kes pertuduhan mengabaikan kanak-kanak sindrom down, Bella. – UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Se­syen di sini semalam ditunjukkan beberapa rakaman video yang memaparkan layanan pe­ngasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali terhadap bekas penghuni rumah perlindungan tersebut.

Antara rakaman-rakaman tersebut ialah sambutan hari lahir saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19, percutian penghuni Rumah Bonda di Hotel Micasa, Jalan Tun Razak dan sambutan hari raya pada Mei 2021.

Pada prosiding terdahulu, Yasmin menyatakan dia telah dilayan seperti hamba abdi dan kuli oleh Siti Bainun ketika menetap di rumah perlindungan itu.

Nur A’minahtul Mardiah (NAM): Jadi ini layanan hamba abdi yang diberikan Siti Bainun kepada Yasmin?

Yasmin: Ya.

NAM: Bawa pergi bercuti?

Yasmin: Ya.

Saksi itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam bela, Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor pada perbicaraan kes Siti Bainun, 31, yang didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara Februari dan Jun 2021 di Kondo Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Merujuk kepada rakaman sewaktu sambutan hari raya pada 22 Mei 2021, saksi itu menyatakan, individu yang paling lama dipeluk remaja sindrom down, Bella.

NAM: Siapa yang Bella peluk paling lama?

Yasmin: Siti Bainun.

NAM: Bella peluk pendera dia paling kuat?

Yasmin: Ya.

NAM: Jadi Bella tak takutlah kepada penderanya?

Yasmin: Ya.

Saksi tersebut kemudian ditunjukkan rakaman video peng­huni Rumah Bonda bertarikh 1 Julai 2021.

NAM: Bella ada di mana pada masa ini?

Yasmin: Ada di bilik laundry.

NAM: Julai 2021, Bella te­lah diambil Jabatan Kebajikan Ma­syarakat ke belum?

Yasmin: Tak ingat.

NAM: Sebelum ini, awak cakap Bella dah diambil oleh Mommy Zu (Zurianty Sudin) pada 24 Jun 2021, jadi pada 1 Julai 2021, Bella tiada di Rumah Bonda.

Yasmin: Betul.

NAM: Bermakna pada 1 Julai 2021, Bella tak ada di bilik laundry sebab dah kena ambil.

Yasmin: (Tidak memberikan sebarang jawapan)

Pada prosiding hari ini juga, pihak pembelaan menyenaraikan 10 keterangan Yasmin yang dikatakan penipuan semata-mata.

Senarai tersebut termasuk keadaan Bella yang dikatakan asyik terjatuh apabila berjalan kerana kakinya lemah selepas se­ring didera (rakaman video me­nunjukkan Bella mampu berjalan seperti biasa) dan dipukul dengan penyangkut baju sehingga patah (Yasmin berada di Rumah Perlindungan Jitra, Kedah ketika kejadian kononnya berlaku).

Yasmin bagaimanapun mena­fikan bahawa keterangan yang di­berikan adalah palsu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung 20 April ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya