Kos amah mahal, majikan tidak mampu - Utusan Malaysia

Kos amah mahal, majikan tidak mampu

Kos amah Indonesia yang gaji sampai RM1,500 sebulan manakala bayaran pengambilan RM15,000 mungkin menyebabkan majikan tidak mampu menggaji mereka. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebahagian besar majikan kemungkinan besar tidak mampu mengambil pembantu rumah Indonesia, susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi pengambilan dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).

Ini kerana, dua daripada sembilan butiran dalam MoU tersebut menggariskan pembantu rumah perlu meraih kadar gaji minimum RM1,500 bersih sebulan tanpa potongan manakala pendapatan minimum calon pemberi kerja pula mesti pada kadar RM7,000 sebulan bagi memastikan gaji pembantu rumah benar-benar dibayar oleh majikan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein mengakui kadar tersebut terlalu tinggi dan hanya yang benar-benar mampu akan mengambil amah sepenuh masa.

“Jelas bahawa tidak ramai majikan yang akan mampu membayar RM1,500 sebulan. Ia amat tinggi dan tiada jaminan amah itu bermutu dan tidak akan lari. Majikan juga perlu membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Sebelum ini juga sudah ada majikan yang tak mampu, sebab itu ada kes dera, kes tak bagi makan, kes tak bayar gaji,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada masa sama, beliau juga bimbang kos pengambilan amah akan meningkat berbanding RM15,000 ke RM17,000 yang ditanggung agensi pekerjaan selama ini.

“Siapa yang mampu nak bayar? Apabila tidak mampu bayar, kami bimbang ia akan menggalakkan lebih banyak pengambilan amah secara haram,” katanya.

 

Sistem amah

Justeru, beliau mencadangkan supaya sistem amah secara separuh masa diperkenalkan sebagai alternatif kepada pengambilan pembantu rumah sepenuh masa.

“Kalau ada sistem amah separuh masa, majikan tidak perlu terikat dengan gaji RM1,500, sebaliknya gunakan perkhidmatan amah mengikut keperluan. Kalau amah sakit ke, tak datang ke, mudah untuk digantikan dengan orang lain.

“Perkhidmatan amah separuh masa ini juga ada permintaan yang tinggi, ada yang ambil amah Filipina secara haram kerana mereka sanggup bayar berbanding bayar gaji yang tinggi. Sudah sampai masa sistem amah separuh masa dilaksanakan, ia akan menyelesaikan pelbagai masalah amah yang berlarutan selama ini,” katanya.

Pemeteraian MoU PDI yang dimeterai kelmarin mengenakan syarat ketat pengambilan pekerja Indonesia menerusi lima inisiatif iaitu caruman melalui Perkeso, jaminan bayaran gaji melalui e-Wages, pembayaran gaji tidak boleh lewat dari hari ketujuh pada setiap bulan, cuti sehari dalam seminggu dan membina aplikasi e-aduan.

 

MoU

MoU tersebut ditandatangani Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Merdeka.

Sehingga Februari 2022, Indonesia adalah negara sumber pekerja warga asing utama bagi Malaysia iaitu sebanyak 352,469 orang di mana 58,438 adalah pengambilan PDI.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi meminta supaya bayaran kira-kira RM10,000 hingga RM12,000 daripada RM15,000 kos pengambilan amah kepada agensi pekerjaan Indonesia dapat dikurangkan, susulan penetapan gaji minimum RM1,500.

“Dulu, ketika gaji amah rendah, bayaran kepada agensi di Indonesia adalah tinggi, jadi apabila bayaran gaji naik kepada RM1,500, mereka perlu kurangkan caj bayaran yang dikenakan kepada kita.

“Kos pengambilan juga tidak boleh lebih RM15,000 sebab sebelum era Covid-19, kos dalam RM15,000 ke RM16,000. Sekarang ejen yang tidak melalui agensi pekerjaan swasta (APS) mengenakan kos RM25,000 hingga RM30,000. Jadi, kita merayu kepada kerajaan Indonesia supaya memantau, membuat penguatkuasaan dan mematuhi MoU ini,” katanya.

Beliau juga berharap supaya one channel system pengambilan pekerja Indonesia yang termaktub dalam MoU tidak mengenakan sebarang bayaran tambahan dan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.

“Kita bantah jika sistem ini mengenakan sebarang kutipan wang kepada APS sebaliknya ia perlu bertindak sebagai sistem pemprosesan sahaja. Sistem ini juga perlu dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Sumber Manusia, sama seperti aplikasi MySejahtera yang dimiliki kerajaan, ia tidak boleh diuruskan oleh pihak ketiga dan mengutip wang dari APS,” katanya. – UTUSAN

 

9 butiran MoU PDI

1. One channel system ialah saluran Malaysia dan Indonesia untuk pengambilan pekerja Indonesia.
2. Tidak ada direct hiring, sebaliknya semua majikan perlu melalui agensi pekerjaan Malaysia dan Indonesia yang berdaftar.
3. Seorang PDI hanya dibenarkan bekerja di satu tempat atau rumah.
4. PDI sebagai pembantu rumah dan tukang masak dibenarkan bekerja dengan jumlah keluarga maksimum enam orang dalam satu tempat atau rumah.
5. Majikan dibenarkan ambil PDI sebagai pengasuh anak atau warga emas.
6. Deskripsi pekerjaan PDI sesuai dengan deskripsi pekerjaan tersebut dan tidak akan bekerja secara multitasking.
7. PDI dapat caruman Perkeso, insurans kesihatan.
8. Kadar gaji minimum RM1,500, pendapatan minimum majikan RM 7,000.
9. One channel system dipantau dan diperhalusi secara berkala oleh kedua-dua negara.

Sumber media Indonesia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN