Kes saman Apandi - Tun M selesai - Utusan Malaysia

Kes saman Apandi – Tun M selesai

Tun Dr. Mahathir Mohamad menjawab empat soalan diaju Mohamad Apandi Ali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes saman bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mendakwa dirinya telah diberhentikan secara salah oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan berjaya diselesaikan secara baik hari ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam, Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu yang mewakili Mohamed Apandi kepada media selepas prosiding pengurusan kes tersebut yang dijalankan secara dalam talian.

“Atas dasar tanpa prasangka, pihak kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan guaman ini tanpa sebarang pengakuan liabiliti,” kata peguam tersebut.

Bagaimanapun, terma-terma penyelesaian tidak didedahkan kepada media.

Turut serta dalam prosiding tersebut ialah peguam-peguam Datuk Dr. Abdul Shukor Ahmad dan Nor Shahadah Saari yang juga mewakili Mohamed Apandi manakala Dr. Mahathir dan kerajaan diwakili Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Donald Joseph Franklin, Syahriah Shapiee dan Abdul Hakim Ab. Keram @ Ab. Karem.

Kes itu sebelum ini gagal diselesaikan secara baik melalui mediasi dan Mahkamah Tinggi di sini telah menetapkan 18, 20, 21 dan 22 April 2022 untuk perbicaraan kes tersebut.

Pada 13 Oktober 2021, Mohamed Apandi memfailkan saman terhadap Dr. Mahathir dan Kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua atas dakwaan bekas Perdana Menteri itu telah menyalahgunakan kuasanya sehingga menyebabkan beliau kehilangan jawatan tertinggi dalam Jabatan Peguam Negara, dua tahun lalu.

Pemecatan tersebut dakwa Mohamed Apandi, telah menyebabkan beliau kehilangan punca pendapatan bagi tempoh 27 Julai 2018 hingga 26 Julai 2021, elaun keraian, perumahan, perubatan, Elaun Khas Peguam Negara, pampasan cuti dan faedah-faedah lain berjumlah melebihi RM2 juta.

Pada 14 November 2020, Dr. Mahathir dan kerajaan dalam pembelaan pernyataan pembelaan mereka menyangkal dakwaan Mohamed Apandi dan menyatakan penamatan kontrak bekas Peguam Negara dibuat berlandaskan undang-undang, sah dan tidak berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa.

Kedua-dua defendan mendakwa tuntutan Mohamed Apandi yang merupakan plaintif dalam saman itu tidak bermerit serta tersalah dari segi fakta dan undang-undang dan tidak berhak untuk mendapatkan relif-relif yang dipohon.

Pada 25 Mei 2021, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Mohamed Apandi untuk mendapatkan surat atau dokumen menunjukkan perkenan Yang di-Pertuan Agong berkaitan penamatan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya