KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak berpeluk tubuh dalam menangani isu gangguan bekalan air yang sering membelenggu rakyat negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil tindakan sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air.
Beliau berkata, antara tindakan jangka panjang adalah dengan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Sabah yang telah pun dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri. Malah, cadangan untuk menswastakan bekalan air di Sabah juga sudah dikemukakan.
Bagi jangka pendek pula, kerajaan telah melakukan catuan bekalan bagi membolehkan agihan bekalan air dapat dilakukan.
Di samping itu, bantuan penghantaran bekalan air bersih turut di lakukan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sekiranya keadaan semakin kritikal.
Kenyataan itu jelas menafikan dakwaan Setiausaha DAP Sabah, Phoong Jin Zhe yang menyatakan kerajaan dan Menteri Kerja Raya negeri seolah-olah tidak melakukan sesuatu untuk menangani isu bekalan air di Sabah.
Menteri Kerja Raya berkata, pihaknya sentiasa peka dengan isu gangguan bekalan air yang berlaku hampir di semua daerah di Sabah dan isu itu diwarisi sejak zaman pemerintahan Parti Warisan.
Menurut beliau, gangguan bekalan air berlaku susulan permintaan yang semakin tinggi. Malah, Loji Rawatan Air (LRA) juga tidak dapat berfungsi dengan baik kerana masalah pencemaran sungai yang berlaku.
“Kita juga sering berhadapan masalah kebocoran paip utama yang dibina sejak kerajaan Britisih dan tidak pernah ditukar. Turut menyumbang kepada gangguan bekalan air adalah penyambungan paip-paip haram yang berlaku di sekitar daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bung Moktar berkata, Jin Zhe harus sedar semasa mereka menjadi kerajaan bersama Warisan, isu bekalan air di Sabah sudah berlaku dan mereka juga gagal untuk menangani masalah tersebut.
“Apa sahaja yang terbaik untuk menangani isu bekalan air di Sabah kita (kerajaan) akan laksanakan. Namun, perlu diingat bukannya hari ini merancang, esok terus kita boleh laksanakan, ini bukan cerita lampu ajaib Aladin,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang itu supaya tidak putar belit isu bekalan air dengan mengaitkannya dengan isu pembinaan Sky Train dan Casino.- UTUSAN










