Pelanggan makan percuma, rider teraniaya

Pelanggan makan percuma, rider teraniaya

rider
PENGHANTAR makanan atau rider berdepan penipuan oleh pelanggan yang mendakwa makanan dihantar tidak diterima. –UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendapatan dipotong garagara laporan kehilangan palsu dibuat segelintir pelanggan menjadi antara dilema harian yang perlu dihadapi kirakira 200,000 penghantar makanan di negara ini.

Meskipun prosedur operasi standard (SOP) telah diikuti seperti memuat naik gambar makanan dan nombor rumah pelanggan, realitinya penyedia platform lebih cenderung ‘menghukum’ penghantar makanan
berbanding menyiasat laporan kehilangan.

Senario itu menyebabkan ia dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab untuk makan percuma dengan menganiaya penghantar makanan.

Ketika ditemui Utusan Malaysia, majoriti pekerja p-hai­ling mengakui pernah berdepan situasi itu apabila sebahagian mata pencarian mereka berjam-jam atas jalan raya ‘lesap’ berikutan kelemahan sistem.

Amriena Rashada Maulud, 28, berkata, sebanyak RM60 iaitu hampir separuh pendapatan hariannya pernah dipotong selepas pelanggan membuat adu­an tidak menerima pesanan, walaupun penghantaran dibuat secara serahan tangan.

“Susulan aduan, pihak khidmat pelanggan meminta bukti bergambar yang jelas bagi mengesahkan proses penyerahan makanan.

“Walaupun pesanan telah diserahkan, pelanggan tetap melaporkan tidak menerima makanan sehingga menyebabkan potongan wang daripada e-dompet saya,” katanya.

Perkara itu turut diakui Muhammad Saidi Zaidi, 24, yang pernah berdepan pemotongan mencecah RM100 dan terpaksa menunggu sehingga 14 hari untuk mengetahui status banta­han dikemukakannya.

“Ini menyebabkan kadang-kadang kami terpaksa meminjam wang kenalan atau saudara-mara apabila pendapatan harian terjejas akibat pemoto­ngan.

“Sistem akan memotong wang daripada e-dompet sebaik sahaja ada aduan. Bantahan atau rayuan melalui aplikasi kadang-kala tiada maklum ba­las sehingga kami perlu menghantar e-mel kepada penyedia platform bagi tujuan semakan semula yang mengambil masa empat belas hari bekerja,” katanya.

Menurut Pengerusi Persa­tuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Haris Fadillah Arsyad, sistem lebih memihak kepada pelanggan dan memproses bayaran balik yang menyebabkan gaji penghantar makanan dipotong.

“Apabila pelanggan membuat aduan, sistem akan mengesahkan tiada pesanan atau barang hilang, manakala bayaran dipulangkan kepada pelanggan dan penghantar makanan kehi­langan bayaran yang sepatutnya diterima,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambahnya, sistem sokongan pelanggan hanya beroperasi sehingga 11 malam walaupun perkhidmatan berjalan 24 jam.

“Sekiranya aduan dibuat selepas waktu itu, ia tidak akan dapat ditangani serta-merta kerana tiada sokongan pelanggan yang beroperasi pada masa tersebut,” katanya.

Haris Fadillah berkata, sistem seharusnya memberi panduan jelas tentang langkah yang harus diambil apabila pelanggan meminta barang pesanan diletakkan di depan rumah.

“Jika bukti tidak mencukupi, hubungi penghantar makanan untuk penjelasan dan buat keputusan bayaran semula berdasarkan penjelasan dan bukti kedua-dua pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN