KOTA BHARU: Kerajaan akan terus mengekalkan subsidi haji kepada semua jemaah yang terpilih untuk melaksanakan Rukun Islam kelima itu bagi tahun ini meskipun terdapat cadangan supaya ia diberikan secara bersasar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya menerusi Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai formula tertentu yang akan digunakan untuk terus memberikan subsidi kepada semua jemaah.
Menurutnya, sehubungan itu, semua jemaah haji di negara akan menerima subsidi yang diberikan tanpa memilih golongan tertentu.
“Keputusan itu (subsidi) kekal seperti yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini. Sebagai makluman, subsidi haji ini sama sekali tidak melibatkan wang kerajaan.
“Sebaliknya, wang yang digunakan diambil daripada keuntungan pendeposit,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Pembangunan Keluarga Mawaddah Kelantan di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md. Nawi.
Media sebelum ini melaporkan, terdapat pihak yang mengemukakan cadangan supaya pemberian subsidi haji secara bersasar mengikut kategori terutamanya golongan B40.
Pendekatan tersebut dicadangkan susulan kos seorang jemaah haji dijangka meningkat sehingga RM25,000 namun, bayaran dikenakan hanya RM9,980 dengan subsidi yang ditanggung TH amat besar.
Dalam perkembangan lain, Idris berkata, subsidi untuk jemaah menunaikan haji tahun ini akan diumumkan mengikut kuota sebenar yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Katanya, kerajaan memberi jaminan subsidi itu tidak akan membebankan para jemaah.
“Kerajaan juga sudah memohon untuk menambah bilangan kuota haji selain menghantar surat rayuan kepada kerajaan Arab Saudi,” ujarnya. – UTUSAN










