ibarat raja

Kartel ibarat raja, kuasai 70 peratus bekalan ayam harian

Tidak cukup syarat antara punca utama para pengeluar ayam lambat dapat subsidi. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak lima kartel didakwa telah berpuluh tahun menguasai keseluruhan rantaian industri ayam di negara ini dan bermaharajalela memonopoli sektor penting makanan negara bernilai RM10 bilion setiap tahun itu.

Sumber dalaman industri men­dedahkan kepada Utusan Ma­laysia, kartel-kartel ini menguasai hampir 70 peratus daripada keseluruhan bekalan 2.2 juta ekor di pasaran setiap hari pada masa ini, iaitu kira-kira 1.5 juta ekor ayam.

Mereka mewujudkan rangkaian bisnes bagi menguasai sektor lain dalam industri ayam negara, termasuk mengawal pengeluaran makanan dedak ayam, menguasai import jagung untuk ramuan makanan ternakan, mengawal kegiatan import ayam sejuk beku secara haram selain memonopoli permit import (AP) ayam sejuk beku.

Kata sumber, kartel-kartel itu membuat keuntungan berlipat ganda dengan memainkan harga anak ayam dan dedak kepada penternak, kemudian menekan peruncit pula apabila menjual ayam dengan harga tinggi dan mengakibatkan pengguna yang terpaksa menanggung kenaikan kos tersebut.

Menurutnya, oleh sebab menguasai industri bernilai berbilion ringgit, maka kartel sengaja memutar belit maklumat berkenaan industri ayam sehingga menampakkan seolah-olah penternak dan peruncit yang bersalah menaikkan harga sesuka hati, supaya memastikan kerja kotor mereka tidak terdedah untuk melindungi monopoli selama puluhan tahun ini.

“Bukan seperti fahaman umum, proses pengeluaran ayam tidak bermula di peringkat penternak, malah lebih awal iaitu di peringkat mengimport induk ayam yang disebut great grandparent stock dari United Kingdom, Kesatuan Eropah mahupun Amerika Syarikat. Seawal proses ini sudah dikuasai kartel.

“Kemudian, induk ini dihantar ke ladang baka untuk menghasilkan telur. Peringkat seterusnya, telur ini dihantar ke pusat penetasan untuk menghasilkan anak ayam berusia sehari bagi pembakaan, dikenali day old chicken (DOC). DOC ini kemudian dihantar oleh kartel kepada para penternak seluruh negara,” katanya.

Mengulas lanjut, sumber berkata selepas penternak menerima bekalan anak ayam dari kartel, mereka akan membela anak ayam tersebut dalam tempoh tertentu, sebelum kartel datang membeli ayam tersebut.

“Pada waktu ini, kartel yang juga dikenali dalam industri sebagai integrator akan serahkan bil kepada penternak. Bil ini disebut sebagai penyata integrator. Kami ada bukti, dalam penyata integrator bertarikh 31 Mac tahun ini, kartel beli ayam dari penternak dengan harga RM4.60 sekilogram. Untuk makluman, berat ayam di pasaran biasanya dua kilogram seekor, bermakna kartel cuma beli dari penternak dengan harga purata RM9.20 bagi seekor ayam.

“Harga RM9.20 ini, sudah termasuk kos makanan. Maksudnya, harga makanan diserap oleh penternak bukannya kartel. Dalam penyata integrator itu jelas buktikan, penternak yang kena bayar dedak kepada kepada kartel berharga RM98.50 bagi dedak kecil dan RM96.50 untuk dedak besar. Dedak ini penternak yang bayar kepada kartel,” katanya.

Sumber menjelaskan lanjut, bahawa selepas itu penternak akan hantar ayam ke pusat sembelihan yang kosnya kira-kira RM1.50 seekor ayam, termasuk upah pembungkusan.

“Jadi, kos kartel setakat itu ialah RM9.20 dan RM1.50, kemudian campur kos pengangkutan. Bila dicampur semua, kos mereka cuma kira-kira RM11 untuk seekor ayam. Sekarang cuba fikir, pada bulan April, rakyat mengeluh sebab harga ayam mencecah RM20 seekor yang beratnya dua kilogram. Ini sebab harga siling kartel cecah RM10 sekilogram. Rakyat bayar ayam harga Yahudi, tapi di belakang, kartel untung hampir seratus peratus,” katanya.

Mengulas lanjut sumber berkata, antara alasan kartel bahawa harga ayam di pasaran sukar dikawal, kononnya akibat kenaikan harga jagung yang diimport, sedangkan kos itu bukan ditanggung kartel sebaliknya dibayar oleh penternak.

Malah lebih jelik lagi, sumber mendakwa kartel juga mensabotaj usaha kerajaan memperkenalkan bahan alternatif dalam dedak ayam menggunakan isirong kelapa sawit (PKE).

“Pada 2017, Sime Darby dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah memperkenalkan PKE sebagai ramuan tambahan sokongan untuk makanan ayam selain jagung dan soya. Namun, proposal itu mendapat tentangan hebat daripada kartel yang dipercayai menguasai sektor import jagung.

“Saya syak, kartel inilah yang melobi dan mendesak kerajaan supaya tidak menggunakan PKE yang merupakan bahan mentah tempatan sebagai makanan ayam, sebab ini akan menjejaskan perniagaan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN