SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan mengadakan pertemuan khas dengan keluarga seorang pesakit warga emas yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, November tahun lalu.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, pihaknya mengambil maklum surat dikemukakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin Abu Bakar pada 26 April lalu berhubung kematian pesakit terbabit.
Katanya, wanita berusia 69 tahun yang mempunyai pelbagai komorbid itu mendapatkan rawatan di HTAR dengan diagnosis Covid-19 Kategori 4 pada 25 Oktober tahun lalu.
“Namun, pesakit mengalami komplikasi akibat jangkitan itu dan meninggal dunia pada 28 November tahun sama. Susulan itu, waris mendiang mengemukakan aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) pada 13 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Santiago mengemukakan surat kepada Khairy Jamaluddin bagi permohonan dan maklum balas mengenai kematian wanita berkenaan.
Pesakit itu didakwa meninggal dunia atas kemungkinan kecuaian perubatan dan waris bertindak membuat aduan berikutan tidak berpuas hati dengan jawapan yang diterima.
Ahli keluarga pesakit dikatakan mengetahui siasatan dan laporan kematian sudah dilengkapkan namun mereka belum dimaklumkan mengenainya setakat ini. – UTUSAN