SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengubah kaedah pemantauan bagi mengesan umat Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan tidak berpuasa dengan makan dan minum secara terbuka di tempat awam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama JHEAINS, Nik Azlan Nik Man menjelaskan, pihaknya kini juga memberi fokus dengan memantau perkhidmatan penghantaran makanan yang disyaki digunakan sebagai taktik baharu oleh mereka yang tidak berpuasa.
“Kami mengesyaki mereka ubah taktik dengan menggunakan khidmat penghantaran makanan dan kemudian makan di taman-taman di gazebo termasuk di rumah-rumah kosong. Kami akan ubah pemantauan bagi mengesan taktik baharu ini termasuk mengesan lokasi makanan itu dihantar.
“Pihak kami sentiasa melakukan rondaan pada setiap hari bagi mengesan umat Islam yang makan di tempat awam pada bulan Ramadan. Bagaimanapun hasil rondaan tersebut setakat ini, anggota penguat kuasa tidak menemukan sebarang kes dan kami mengesyaki mereka yang terlibat telah menukar taktik.
“Mereka juga apabila menggunakan khidmat penghantaran makanan ke premis seperti rumah-rumah persendirian jadi tidak ada isu pula makan di tempat awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Nik Azlan memohon kerjasama orang ramai untuk membuat aduan kepada pihaknya sekiranya mendapati terdapat individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 114 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 berkaitan tidak menghormati bulan Ramadan.
Sementara itu, Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Amran Awaludin mengingatkan bahawa matlamat berpuasa bagi umat Islam adalah untuk melahirkan individu bertakwa dan bagi mencapainya, umat Islam perlu memelihara diri daripada melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT.
“Daripada segi undang-undang mungkin mereka ini akan terlepas, kerana yang menjadi kesalahan kerana makan di khalayak ramai dan premis awam, tetapi jika mereka makan di tempat persendirian, itu antara dia dan Allah SWT.
“Oleh itu, walaupun orang ramai tidak melihat kita tetapi Allah tetap melihat kita. kalau alasan dia betul-betul kukuh, di sebabkan uzur misalnya tidak mengapalah, tetapi kalau dia sengaja, mampu untuk berpuasa namun tidak berpuasa, terimalah akibat di akhirat kelak,” kata beliau. –UTUSAN ONLINE










