Jemaah haji akur kenaikan bayaran secara bersasar

Jemaah haji akur kenaikan bayaran secara bersasar

JEMAAH bakal haji memahami bahawa kenaikan kos ibadat haji itu tidak dapat dielakkan kerana faktor ekonomi dan juga wabak Covid-19 yang melanda sejak dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rata-rata jemaah bakal haji akur dengan kenaikan kos menunaikan ibadah haji tahun ini sebanyak 12 peratus dan peningkatan bayaran haji secara bersasar berikutan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan Kerajaan Arab Saudi.

Seorang bakal jemaah, Mohamad Sharip Abdul Mutalib, 60, memberitahu Utusan Malaysia, dia melihat langkah TH itu wajar diambil kerana mengambil kira faktor kos yang meningkat di pihak kerajaan Arab Saudi.

“Kenaikan bayaran adalah wajar memandangkan kos tunai haji telah naik begitu banyak. Alhamdulillah, walaupun naik sedikit, saya amat bersyukur sekiranya dapat menunaikannya tahun ini sebab saya dah daftar dan menabung sejak tahun 2008 lagi,” katanya.

Seorang lagi bakal jemaah, Abdullah Jamaluddin, 58 berkata, kenaikan itu dianggap tidak terlalu membebankan kerana bagi golongan berpendapatan rendah mereka tetap mendapat subsidi dari pihak TH.

“Alhamdulillah, walaupun ada kenaikan tapi tidak ia membebankan. TH masih beri subsidi yang banyak terutama kepada golongan berpendapatan rendah. Kerajaan amat prihatin kepada jemaah Malaysia,” katanya.

Turut berkongsi reaksi berhubung kenaikan kos menunaikan ibadat haji ialah Mohammad Amiruddin Uthman, 63, yang berkata, bayaran yang dikenakan amat berpatutan untuk tempoh lebih 45 hari di tanah suci jika dibandingkan dengan bayaran untuk umrah yang rata-ratanya pada kadar RM10,000 sehingga RM14,000 untuk 12 hari sahaja.

Kata Amiruddin lagi, sebelum Ramadan dia telah pergi menunaikan umrah dan dia memahami bahawa kenaikan kos ibadat haji itu tidak dapat dielakkan kerana faktor ekonomi dan juga wabak Covid-19 yang melanda sejak dua tahun lalu.

“Banyak yang telah naik harga seperti harga tiket kapal terbang, hotel, sewa kenderaan dan makanan. Jadi semua perkara ini mendorong kenaikan kos ibadat haji,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN