JERANTUT: Seorang individu bukan Islam, Jason Tee melakukan tanggungjawab sosial dengan menyumbangkan 100 kampit beras kepada pengurusan Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut (MTMAJ) untuk diagihkan kepada ahli kariah atau penduduk yang memerlukan sepanjang Ramadan kali ini.
Tee berusia dalam lingkungan 40-an yang juga Pengurus Syarikat Perumahan Jaya Depan di sini berkata, sumbangan itu sebagai berkongsi rezeki sekali gus bantu membantu mereka yang memerlukan dan golongan yang susah.
“Dalam hal ini, syarikat kami sentiasa memegang amanah dan tanggungjawab bahawa ‘rezeki yang kita peroleh juga merupakan rezeki untuk dikongsi dengan (semua) orang lain’.
“Pengalaman kesusahan selama lebih dua tahun yang ditempuh oleh penduduk khususnya mereka yang kurang berkemampuan akibat ancaman wabak Covid-19 mendorong syarikat pemaju perumahan kami untuk membuat kerja amal seperti sumbangan beras hari ini,” katanya di pekarangan MTMAJ hari ini.
Tee berkata, sebagai sebuah syarikat perumahan usaha kebajikan berkenaan merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) akan diteruskan selepas pemulihan Covid-19 ini dan Fasa Peralihan Endemik kepada masyarakat, iaitu membantu mereka yang memerlukan.
“Apabila syarikat ini melaksanakan projek perumahan di sesebuah tempat, selaras dengan CSR di situlah kita akan kongsikan rezeki serta memberikan sumbangan apa yang kita ada atau mampu” katanya.
Bertitik tolak daripada sumbangan tersebut, Tee berpendapat, Islam adalah agama universal yang mengamalkan perpaduan dan toleransi kepada kaum lain tanpa mengira kepercayaan (agama) dan budaya.
Beliau teruja kerana Islam mengajar berdakwah kepada perkara yang positif dan berpandangan jauh malah mendidik umat Islam sendiri mampu berdepan pelbagai cabaran.
“Perkara yang paling mudah dan kerap yang saya nampak dalam agama ini apabila masyarakat (Islam) menyokong antara satu sama lain menerusi aktiviti bantu-membantu, tolong-menolong dan bergotong-royong antara perkara asas dalam pembinaan (masyarakat) setempat,” katanya.
Sementara itu, Imam Satu MTMAJ, Mohd. Fikri Hamzah terharu atas keprihatinan Tee dan kaki tangan Syarikat Perumahan Jaya Depan yang menyumbangkan barang makanan kepada masjid tersebut.
“Pihak pengurusan MTMAJ juga mengadakan perbincangan kerjasama dengan Tee dan syarikat itu tentang program jalinan persaudaraan untuk menguatkan perpaduan komuniti setempat khususnya antara masyarakat Melayu Islam dan Cina di daerah ini.
“Saya kagum dan bersyukur dengan sumbangan Tee ini malah pandangan terhadap agama Islam dan masyarakat kita cukup ikhlas, bernas dan tepat yang boleh dijadikan istiqamah pihak lain menerusi kerja kebajikan,” katanya. – UTUSAN










