BANGKOK: Ketua pembangkang utama Thailand dan sembilan ahli parlimen lain antara puluhan individu yang dibicarakan di Mahkamah Agung semalam, atas tuduhan pelanggaran etika berkaitan usaha meminda undang-undang hina raja di negara itu.
Mahkamah mendakwa 44 tertuduh, termasuk pemimpin Parti Rakyat, Natthapong Ruengpanyawut yang menduduki tempat kedua dalam pilihan raya umum Februari lalu.
Pada 2021, parti tersebut mencadangkan rang undang-undang yang meminda undang-undang lese-majeste.
Undang-undang itu melindungi raja dan keluarga diraja daripada kritikan serta memperuntukkan hukuman maksimum sehingga 15 tahun bagi setiap kesalahan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara (NACC) pada April memfailkan aduan sivil ke Mahkamah Agung terhadap 44 ahli politik semasa dan bekas pemimpin dengan mendakwa mereka melanggar etika.
Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan larangan seumur hidup daripada memegang jawatan politik dan dilucutkan hak mengundi selama 10 tahun.
Semalam, pendakwa raya mengemukakan senarai 17 saksi kepada Mahkamah Agung, termasuk pegawai parlimen dan NACC dengan saksi pertama dijangka memberi keterangan pada 25 Ogos.
Menurut wartawan AFP, tiada ahli parlimen yang dibicarakan hadir di mahkamah. Dua sesi pendengaran seterusnya dijadualkan pada September dan Oktober.
Kesemua tertuduh sebelum ini merupakan ahli parti Maju Kehadapan yang pernah mencadangkan pindaan terhadap undang-undang lese-majeste.
Mahkamah Perlembagaan Thailand membubarkan parti itu pada 2024. Ia memutuskan usaha reformasi institusi diraja oleh parti itu dianggap sebagai cubaan menggugat sistem raja berperlembagaan.
Kebanyakan ahlinya kemudian menubuhkan parti baharu. Ia dikenali sebagai Parti Rakyat, di mana 10 ahli Parlimen yang kini dibicarakan dipilih semua pada pilihan raya Februari.
Natthaphong berkata dalam satu sidang media pada April selepas Mahkamah Agung menerima kes itu, usaha reformasi yang dicadangkan tidak pernah bertujuan untuk menjejaskan sistem demokrasi di bawah institusi raja.
“Matlamat kami lebih daripada sekadar kerjaya politik. Ia adalah tentang memastikan kesamarataan untuk rakyat.
“Kami akan mencabar kes ini di Mahkamah Agung untuk mempertahankan hak ahli parlimen dalam sistem parlimen yang demokratik dan memastikan demokrasi Thailand benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.– AFP










