Jalan rosak, pasaran hasil terbantut

Jalan rosak, pasaran hasil terbantut

BANJIR kilat daripada limpahan anak Sungai Batu yang melimpah ke atas jalan antara punca laluan rosak di Taman Pertanian Gelanggi, Pulau Tawar di Jerantut, Pahang. – mingguan/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pihak berwajib di­rayu segera membaik pulih jalan utama ke Taman Pertanian Gelanggi, Pulau Tawar yang rosak teruk akibat banjir kilat berpunca daripada air anak Su­ngai Batu melimpah masuk sejak awal bulan ini.

Jalan masuk ke taman pertanian tersebut sejauh lima kilometer dari Jerantut ke Simpang Jengka Lapan merupakan laluan utama enam orang petani kawasan itu memungut hasil untuk dipasarkan ke bandar Jerantut dan Bandar Jengka dekat sini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, petani, Zainul Ismail, 65, berkata, anak Sungai Batu yang sebelum ini belum pernah mengalami banjir kilat, manakala beberapa batang perparitan kawasan ladang ditenggelami air ekoran hujan lebat yang ke­rap turun awal bulan ini.

“Fenomena banjir kilat juga menyebabkan wujud kawasan saliran baharu, mendapan dan lopak besar di permukaan jalan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.

“Pada awalnya jalan ini me­ngalami kerosakan kecil selepas air Sungai Batu surut, tetapi bertambah teruk apabila lori yang membawa hasil sawit daripada sebuah ladang swasta menyebabkan ada beberapa laluan pecah dan wujud lopak besar,” katanya di sini semalam.

Zainul antara pengusaha pertanian perintis yang menanam sayur-sayuran, nanas, tebu dan pisang secara komersial di kebun seluas 100 hektar di situ sejak lima tahun lalu berharap kerajaan membantu membaik pulih laluan sejauh lima kilo­meter supaya mereka selesa membawa hasil pertanian ke bandar.

“Saya juga berharap pengusaha swasta ladang sawit berdekatan membantu membaik pulih jalan ini kerana dia (pengusaha) menggunakan jalan ini untuk mengeluarkan hasil ke kilang,” katanya.

Seorang lagi petani, Mazni Saali, 62, juga berharap jalan berkenaan dibaik pulih segera bagi keselesaan mereka mengeluarkan hasil untuk dipasarkan.

“Sekiranya tidak dibaik pulih, keadaan jalan ini kemungkinan akan terputus langsung ditambah pula hujan lebat kerap turun pada petang dan malam sejak awal bulan ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN