PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa campur tangan berhubung isu keselamatan bangunan di sebuah menara komersial sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.
Pembeli, Woo Sau Ming berkata, isu yang timbul membabitkan pemasangan lantai tambahan mezanin di bangunan tersebut yang dikatakan melanggar peruntukan Seksyen 44 (3) Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984 dan Akta Perkhidmatan Bomba, 1988.
Apa yang menghairankan katanya, dia sebelum ini pernah membuat permohonan sama bagi mendapatkan kelulusan pemasangan lantai tambahan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun ditolak.
“Saya telah menulis surat kepada pemaju dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) meminta pengesahan kelulusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk pemasangan lantai mezanin.
“Tapi malangnya permohonan saya ditolak sedangkan ada unit mempunyai lantai mezanin. Sekarang saya ingin penjelasan. Jika pemasangan tidak mengikut kelulusan bagaimana pensijilan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) diperbaharui sejak tiga tahun lalu,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Tambah Sau Ming, polisi insurans bangunan tersebut juga turut menimbulkan persoalan sama ada ia terbatal atau masih sah selepas pemasangan lantai berkenaan yang dikatakan tidak mematuhi pematuhan peruntukan tersebut. – UTUSAN










