Baki hukuman Suu Kyi tidak diketahui - Utusan Malaysia

Baki hukuman Suu Kyi tidak diketahui

AUNG SAN SYUU KYI - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Tempoh penahanan pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dilaporkan sudah dikurangkan namun jumlah baki hukuman masih tidak jelas dan sehingga kini tidak didedahkan.

Menurut satu kenyataan dari Pejabat Presiden, sempena cuti umum pada Khamis, banduan akan dikurangkan baki hukuman mereka sebanyak satu per enam. 

Walaupun tidak menyebut mana-mana nama, sumber Parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) berkata, Suu Kyi yang berusia 80 tahun turut menerima pengurangan hukuman tersebut.

Namun, masih tidak jelas berapa banyak hukuman Suu Kyi yang telah dianggap dijalani di bawah sistem mahkamah Myanmar yang tidak telus dan sejauh mana tempoh penahanannya akan dipendekkan.

“Kami juga tidak tahu berapa tahun lagi beliau perlu menjalani hukuman,” kata sumber kanan NLD kepada AFP.

Tentera Myanmar menggulingkan kerajaan awam Suu Kyi lima tahun lalu, menahannya atas pelbagai pertuduhan yang menurut kumpulan hak asasi manusia direka untuk menyingkirkannya, sehingga mencetuskan perang saudara.

Sejak itu Myanmar dipimpin oleh Min Aung Hlaing. Pada awalnya, beliau sebagai Ketua Tentera sebelum mengangkat sumpah sebagai presiden awam bulan lalu selepas pilihan raya yang dikawal ketat tanpa penyertaan NLD.

Suu Kyi pada awalnya disabitkan melalui perbicaraan tertutup dan dijatuhkan hukuman lebih 30 tahun penjara atas pelbagai pertuduhan termasuk rasuah dan pelanggaran peraturan Covid-19. Pengampunan pada 2023 mengurangkan hukumannya kepada 27 tahun.

Dalam salah satu tindakan awalnya sebagai presiden, Aung Hlaing bulan lalu mengeluarkan perintah cuti umum yang hampir sama, sekali lagi mengurangkan sebahagian hukuman Suu Kyi.

Beliau juga mengampunkan bekas pembantu kanan Suu Kyi, Win Myint yang pernah berkhidmat sebagai presiden sehingga mencetuskan spekulasi penahanan Suu Kyi mungkin akan dilonggarkan lagi.

Suu Kyi masih sangat popular di dalam Myanmar, namun dilaporkan ditahan hampir sepenuhnya tanpa komunikasi, dengan keluarganya memberi amaran tentang keadaan kesihatannya yang semakin merosot. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×