KOTA KINABALU: Keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri memperlihatkan tahap solidariti luar biasa UMNO bagi berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu menunjukkan kematangan pemimpin UMNO yang mengutamakan kesepakatan demi satu matlamat bagi memastikan UMNO atau Barisan Nasional (BN) dapat membentuk kerajaan yang stabil untuk kemakmuran negara.
“UMNO Sabah menerima baik cadangan ini dan sentiasa memberikan sokongan padu terhadap keputusan parti yang menamakan Ismail sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Bung Moktar, solidariti ini mencerminkan sikap pemimpin UMNO yang lebih mengutamakan kepentingan negara dan parti melebihi daripada kepentingan peribadi.
“Keputusan mencalonkan Ismail Sabri sebagai calon sudah tentu dapat mewujudkan elemen kestabilan bukan sahaja kepada imej parti, malah memperkukuhkan perspektif luar kepada masa hadapan politik Malaysia.
Jelas beliau, UMNO berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang bercelaru dalam menamakan calon Perdana Menteri mereka selepas PRU15 kerana lebih mengutamakan kepentingan peribadi daripada kepentingan negara.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, keputusan MKT UMNO ini memberikan ruang yang luas kepada Perdana Menteri untuk menyusun dan merencana agenda bagi memenagi hati dan minda rakyat untuk memberikan sokongan kepada UMNO/BN bagi menghadapi PRU15.
Sehubungan itu, kepimpinan UMNO di semua peringkat kini perlu lebih fokas untuk menyusun jentera dan gerak kerja parti bagi mempastikan kemenangan UMNO/BN menghadapi PRU15 akan datang.- UTUSAN










