KUALA TERENGGANU: Harga bahan mentah mahal tidak menjejaskan jualan peniaga ayam pusing di bazar Ramadan Dataran Shahbandar di sini yang laris dalam tempoh dua jam sahaja.
Pemiliknya, Abdul Wafi Zainuddin, 26, berkata, seawal pukul 3 petang lagi pelanggan sudah beratur panjang di gerainya hingga ada yang terpaksa menunggu selama sejam untuk ayam siap dimasak.
Katanya, sambutan menggalakkan itu sama sekali tidak dijangka dengan harga baharu yang meningkat sebanyak RM5 bagi menampung kos bahan mentah yang mahal.
“Tahun lalu, seekor ayam pusing dijual pada harga RM22 dan kali ini kita tiada pilihan selain menaikkan harga kepada antara RM26 hingga RM28 seekor bergantung kepada saiz.
“Sebenarnya daripada awal lagi saya sudah bersiap-sedia untuk menanggung risiko rugi tetapi tekaan saya silap kerana gerai kami antara yang paling ramai diserbu pelanggan walaupun harga juadah meningkat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.
Bagaimanapun, Abdul Wafi tidak berhasrat menambah kuantiti ayam pusing, sebaliknya kekal sebanyak 70 ekor sehari di sebalik jualan yang laris.
Katanya, menu jualannya berbeza dengan kebanyakan peniaga lain kerana dibakar bersama madu sekali gus menjadikan ayam lebih enak.
Menurutnya, dia bersama rakan kongsi turut membuka satu lagi gerai di bazar Ramadan di dataran jambatan angkat atau drawbridge di Kuala Nerus. – UTUSAN










