Dua beradik terima upah lumayan seludup dadah - Utusan Malaysia

Dua beradik terima upah lumayan seludup dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua beradik beroleh upah lumayan iaitu sekitar RM16,000 hingga RM17,000 setiap kali melakukan penyeludupan dadah menggunakan bot kecil yang dibawa ke sempadan perairan negara di Tanjung Piai, Pontian sebelum diserahkan kepada pihak ketiga.

Bagaimanapun, kegiatan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 40 tahun itu terbongkar apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan percubaan penyeludupan dadah bernilai hampir RM7 juta di perairan itu, kelmarin.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, kedua-dua suspek ditahan selepas penguatkuasanya mendapati sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 3.5 batu nautika perairan Tanjung Piai pada pukul 12.36 tengah malam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati beberapa bungkusan yang mengandungi dadah disyaki syabu seberat kira-kira 88.2 kilogram bernilai RM4.41 juta, dan lebih kurang 30,000 biji pil ekstasi bernilai RM2.25 juta.

“Selain itu, penguatkuasa turut memeriksa sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi sebelum menemukan katrij vape disyaki mengandungi dadah sintetik bernama ‘Piu Piu’ bernilai RM196,750. Kenderaan yang bernilai RM50,000 turut ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, di sini hari ini.

Tambah Kama Azri, modus operandi digunakan kedua-dua beradik itu adalah menggunakan bot kecil sehingga untuk membawa dadah tersebut sehingga ke sempadan perairan antarabangsa sebelum diserahkan kepada pihak lain yang menunggu di lokasi ditetapkan.

“Dadah tersebut dipercayai dalam perjalanan menuju ke negara jiran untuk dijual ke pasaran antarabangsa. Jumlah dadah yang dirampas dijangka boleh digunakan seramai lebih 1 juta penagih.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Urin kedua-dua suspek disahkan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN