harga naik

Harga ayam standard melambung RM1.10

HAFIZUL Mohamad menyusun ayam segar yang dijual di lot niaganya di pasar basah di Pandan, Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengguna di Johor Bahru terus terbeban apabila harga ayam standard meningkat sebanyak RM1.10 daripada harga runcit ditetapkan setelah kini melambung sehingga RM10 sekilogram.

Di pasar Kuala Perlis, pengguna juga mengeluh apabila seekor ayam mentah dijual RM9.20 sekilogram berbanding RM8.90 yang telah ditetapkan kerajaan.

Bekalan ayam segar yang tidak mencukupi menyebabkan pengguna termasuk peniaga bazar Ramadan sukar mendapat bekalan ayam segar untuk dijadikan menu jualan orang ramai berbuka puasa.

Tinjauan di beberapa pasar basah di Johor Bahru mendapati, kebanyakan peniaga menjual ayam segar antara RM9.50 hingga RM10 sekilogram setelah pembekal mengenakan caj penghantaran yang mahal.

Peniaga, Hafizul Mohamad, 40, berkata, caj penghantaran oleh pembekal amat tinggi ia­itu RM1 bagi setiap sekilogram menjadikan jumlah yang perlu mereka bayar ialah RM8.60.

Katanya, ia memaksa mereka menaikkan harga jualan ayam standard kepada RM10 sekilogram, iaitu RM1.10 lebih mahal berbanding harga runcit ditetapkan RM8.90 sekilogram.

“Pembekal ini memang licik, mereka tidak melanggar harga borong ayam standard yang dibekalkan pada RM7.60 seki­logram kepada kami sebaliknya mengenakan kos penghantaran sehingga RM1 bagi setiap seki­logram ayam.

“Ini menyebabkan harga yang kami terpaksa bayar adalah RM8.60 sekilogram. Masakan boleh jual ikut harga ditetapkan (RM8.90), mahu tak mahu terpaksa jual RM10 sekilogram mengambil kira kos lain,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, di Kangar, peniaga ayam, Madihah Mansor, 51, berkata, pembekal menaikkan harga 30 sen seki­logram sejak hari pertama Ramadan, namun tidak memaklumkan alasan kenaikan.

Katanya, peniaga tidak mempunyai pilihan terpaksa menaikkan harga bagi mengelak menanggung kerugian.

“Apa pun kami minta pihak kerajaan dapat memantau kenaikan harga ayam di peringkat ladang ternakan bagi menge­tahui sebab kenapa harga naik setiap kali Ramadan,” katanya.

MADIHAH MANSOR memotong ayam yang dijual di pasar Kuala Perlis, semalam.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI

Sementara itu, seorang pengguna, Fairus Talib, 34, terkejut melihat harga ayam standard melambung sehingga RM10 sekilogram yang dilihat membebankan pengguna.

Penjawat awam itu yang baru pulang ke kampung dari Kuala Lumpur berkata, dia tidak pernah membayar harga semahal itu ketika berbelanja di ibu kota.

“Di Kuala Lumpur, harga ayam rasanya tak pernah mencecah lebih RM9 sekilogram, jadi saya sangat terkejut bila tahu harganya mencecah RM10 sekilogram di sini. Kenaikan harga ketika Ramadan amat tidak munasabah dan membebankan masyarakat Islam umumnya, tiada pilihan lain selain perlu membayar harga ‘cekik darah’ ini,” ujarnya.

Bagi pesara kerajaan, Manan Abd. Hamid,  76, berkata, bekalan ayam segar itu hampir habis ketika tiba ke pasar berkenaan kira-kira 12 tengah hari dan harganya cukup tinggi.

“Dulu harganya tak sampai RM9 tapi kini mencecah RM10 sekilogram. Jadi, nak buat macam mana, terpaksalah beli kerana cucu suka makan ayam,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN