'Hanya jasad anak yang pulang' - Utusan Malaysia

‘Hanya jasad anak yang pulang’

GAMBAR kenangan Lukman Hakim Mat Rani bersama ibunya, Wan Rubiah Wan Abdullah sebelum penuntut USM itu ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat lapan asrama kediamannya di Georgetown, Pulau Pinang, semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Hasrat ibu kepada penuntut Jurusan Pendidikan di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Lukman Hakim Mat Rani, 22, menanti kepulangan anaknya itu Sabtu ini bagi meraikan Syawal bersama tidak kesampaian apabila menyambut jasadnya, semalam.

Wan Rubiah Wan Abdullah, 50, berkata, dia terkejut sebaik sahaja menerima panggilan daripada rakan Lukman Hakim berhubung kejadian menimpa anak kelima daripada lapan beradik itu yang dikatakan terjatuh dari tingkat lapan asrama kediamannya kira-kira pukul 11 malam kelmarin.

Menurut Wan Rubiah, anaknya itu sepatutnya pulang ke rumah mereka di Kampung Penambang, Kota Bharu, Kelantan pada 30 April ini dengan menaiki bas.

“Arwah sudahpun membeli tiket bas dan akan pulang menyambut hari raya bersama ahli keluarga dan menyambung cuti semester selama sebulan.

“Saya sedih dengan pemergiannya dan kali terakhir kami sekeluarga berhubung dengannya menerusi panggilan video pada dua minggu lalu.

“Arwah ada menyatakan yang dia tidak sempat membeli baju raya dan saya sudahpun membeli baju Melayu berwarna biru sedondon dengan adik-beradik yang lain pagi semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Wan Rubiah memberitahu, anaknya yang bercita-cita sebagai guru Sejarah itu tidak menunjukkan sebarang perubahan atau petunjuk yang dia mahu meninggalkan keluarga buat selamanya.

“Saya reda dengan pemergiannya kerana anak ialah pinjaman daripada Allah SWT yang telah meminjamkan kepada saya selama 22 tahun,” jelasnya sebak.

Mengulas mengenai kejadian berlaku, Wan Rubiah berkata, anaknya dikatakan terjatuh ketika mahu mengambil baju di ampaian dekat koridor bangunan asrama tingkat lapan.

Katanya, mayat anaknya itu ditemukan rakannya dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang di bawah bangunan berkenaan.

Jelasnya, jenazah anaknya itu akan dibawa pulang dan dikebumikan di Kelantan sebaik sahaja proses bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian melibatkan penuntut universiti berkenaan kira-kira pukul 10.30 malam.

“Polis mengenal pasti rakan sebilik si mati dan akan memanggil mereka untuk beri keterangan mengenai kejadian itu,” katanya siasatan lanjut masih dijalankan dan polis ketika ini mengklasifikasikan kematian pelajar tersebut sebagai mati mengejut (SDR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya