Dua sindiket dadah antarabangsa tumpas di Pulau Pinang

Dua sindiket dadah antarabangsa tumpas di Pulau Pinang

MOHD. Shuhaily Mohd. Zain menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas daripada dua sindiket yang berjaya ditumpaskan dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, Georgetown, hari ini. - FOTO/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah antarabangsa apabila merampas 184.65 kilogram (kg) syabu dan ganja bernilai hampir RM1.2 juta dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini dan Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, selain rampasan dadah polis turut menahan 11 suspek termasuk dua wanita serta seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 25 hingga 55 tahun dalam siri serbuan berkenaan.

Menurut beliau, penahan pertama dilakukan pada Isnin lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Barat Daya, Balai Polis Teluk Kumbar dan pasukan Polis Marin Wilayah 1 membabitkan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berumur 35 dan 44 tahun.

Jelasnya, kedua-dua suspek dipercayai terlibat dengan aktiviti mengedar dadah jenis syabu itu sejak awal tahun ini.

“Serbuan berkenaan dijalankan di tepi pantai di Tanjung Asam di Teluk Kumbar pukul 11 malam dan polis menahan lelaki tempatan yang berusia 35 tahun di atas bot.

“Siasatan lanjut di atas bot ini menemukan 20 bungkusan dadah jenis syabu seberat 21 kilogram bernilai RM756,720 dan kita percaya bekalan dadah ini baharu sahaja sampai dengan menggunakan jalan laut dari negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, suspek kedua yang merupakan warga asing yang bekerja sebagai mekanik berusia 44 tahun berjaya ditahan di kawasan sama pukul 1 pagi, Selasa lalu.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh 105,100 penagih dadah dan kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, menerusi serbuan berasingan  pada Rabu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman telah melancarkan operasi terancang di Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah dan merampas dadah jenis ganja seberat 163.65 kg bernilai RM409,125.

Jelasnya, dalam operasi itu sembilan serbuan dilakukan di sekitar Georgetown dan Sungai Petani yang mana tujuh lelaki dan dua perempuan tempatan berumur 25 hingga 55 tahun berjaya ditahan.

“Serbuan pertama dilakukan pada 12.30 tengah hari dan polis menahan seorang lelaki di Georgetown bersama 980 gram(g) ganja bersamanya sebelum menyerbu sebuah rumah dan merampas 8.55 kilogram (kg) ganja di situ sebelum menahan seorang lagi wanita bekerja sebagai jurujual di Jalan Bagan Jermal,” katanya.

Tambahnya, polis kemudian menyerbu sebuah kedai menggunting rambut di Lebuh Pantai Sungai Pinang 1 dan menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang gunting rambut dan merampas 153 kg ganja disembunyikan di dalam stor di kedai itu.

Mohd. Shuhaily berkata, selepas itu polis menyerbu sebuah rumah flat di Jelutong dan menahan seorang lelaki namun tiada dadah dijumpai dan seterusnya polis menyerbu sebuah lagi rumah juga di Jelutong dan menahan seorang lagi lelaki bersama 450 gram ganja. 

“Serbuan kemudian dijalankan di Sungai Petani, Kedah dan di kawasan berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum menahan dua lelaki iaitu mekanik serta kerani bank sebelum menahan seorang lagi wanita iaitu pesara di Lebuh Light. Siasatan mendapati mereka merupakan ahli sindiket pengedaran ganja ini tetapi tiada dadah dirampas bersama mereka,” katanya. 

Katanya, daripada sembilan suspek yang ditahan itu empat suspek direman selama tujuh hari bermula 31 Mac hingga 6 April manakala lima suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

“Polis turut menyita lapan kenderaan, empat barang kemas, tiga utas jam tangan dan wang tunai berjumlah RM234,550 dalam serbuan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN