Denda ceramah agama tanpa tauliah tidak lebih RM3,000 atau penjara

Denda ceramah agama tanpa tauliah tidak lebih RM3,000 atau penjara

TANPA tauliah daripada MAIS, tiada individu atau ahli politik dibenarkan berceramah atau mengajar tentang agama Islam di masjid dan surau di negeri ini. Gambar hiasan. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Semua pihak tanpa mengira parti politik diberi amaran supaya tidak sewenang-wenangnya berceramah atau mengajar agama Islam di masjid dan surau di negeri ini tanpa tauliah atau berdepan penjara tiga tahun dan denda RM3,000.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam satu kenyatan hari ini berkata, peringatan tersebut sejajar dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terutama berkaitan ahli politik yang memberi ceramah atau mengajar di masjid dan surau.

“Aktivis dan pemimpin politik yang mengajar kuliah agama Islam tanpa tauliah di masjid dan surau di negeri Selangor, boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 di bawah Seksyen 119 (1),” katanya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Yusof memberitahu, tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada aktivis politik di Selangor ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember tahun lalu.

Perkara itu diputuskan MAIS selaras dengan titah Sultan Sharafuddin  agar Islam tidak dipolitikkan dan menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak, terutama di masjid dan surau.

Baru-baru ini sekumpulan jemaah dari Masjid Nurul Iman Rawang menghantar memorandum bantahan kepada Sultan Selangor berhubung isu aktivis politik yang menyampaikan tazkirah Ramadan tanpa tauliah.

Menurut ahli-ahli kariah itu, tindakan aktivis tersebut menyampaikan tazkirah selepas solat Isyak 5 April lalu di Masjid Nurul Iman Rawang jelas melanggar titah baginda Sultan Selangor dan arahan khusus MAIS.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN