Daun ketupat pula naik harga - Utusan Malaysia

Daun ketupat pula naik harga

KETUPAT nasi dijangka mengalami kenaikan harga mendadak menjelang sambutan Aidilfitri nanti. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kos daun kelapa muda untuk menganyam ketupat nasi dijangka meningkat sekali ganda menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi berikutan tindakan pembekal dari Indonesia menaikkan harga.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemborong, Hasan Loyot berkata, syarikat dari Indonesia menetapkan harga dari RM25 kepada RM35 seikat bagi kira-kira 400 helai daun tersebut.

Beliau berkata, syarikat itu turut memberi alasan bahawa kenaikan tersebut tidak dapat dielak kerana kos sewa kapal, upah dan sebagainya turut meningkat.

Menurutnya, bekalan terpaksa bergantung dari negara jiran kerana sukar mendapat pembekal tempatan yang mampu membekalkan daun kelapa muda dengan kapasiti besar.

“Saya menerima permintaan yang tinggi daripada peniaga dan penjual ketupat nasi bagi perayaan Aidilfitri tahun ini.

“Tidak sama seperti tahun lalu, kebiasaannya saya menempah antara 600 hingga 800 ikat daun kelapa muda, namun, kali ini saya tempah sebanyak 1,000 ikat,” katanya ketika ditemui.

Hasan menambah, bekalan dijangka tidak mencukupi berikutan hujan yang kerap berlaku di negara jiran.

Jelasnya lagi, seandainya harga borong naik, secara tidak langsung harga runcit juga turut meningkat daripada RM12 kepada RM15 seikat yang mengandungi 100 helai.

Sementara itu, seorang pengusaha ketupat nasi, Mohd. Yusri Mahat turut menyatakan kerisauan berhubung bekalan daun kelapa muda yang dijangka tidak mencukupi untuk Syawal tahun ini.

“Saya juga diberitahu harga bahan pula dijangka naik sekali ganda. Apa boleh buat, semua barang naik harga dan saya tidak terkejut daun ketupat pun harganya naik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya