USAHA memperkenalkan undang-undang anti lompat parti bukanlah satu-satunya pengakhiran kemelut politik tanah air hari ini.
Benar, undang-undang ini jika diluluskan oleh 148 ahli Parlimen secara majoriti dua pertiga akan lebih menyumbang kepada kestabilan politik parti-parti yang terlibat dalam pilihan raya. Juga yang menjalankan kegiatan persatuan politik. Ertinya seseorang itu bila sudah menjadi ahli sesuatu parti dan setelah menjadi calon dan berjaya dalam pilihan raya, tidak dibenarkan menukar partinya lagi. Ini disebabkan mandat yang diberi kepadanya oleh rakyat ialah atas tiket parti asalnya.
Cuma dipercayai undang-undang anti lompat parti ini akan hanya berkesan buat sementara waktu.
Kita sewajarnya sudah sampai ke peringkat politik Malaysia harus diperkukuh. Jika tidak perpecahan terus berlaku.
Ini bermakna negara perlu lebih bergantung kepada konsep parti majmuk – semua parti boleh dan harus ada peranan dalam kerajaan. Cumanya, berapa parti yang harus mendapat, itu bergantung kepada satu catuan yang harus dibuat. Kelak barulah kita mempunyai satu kerajaan coalition yang mengandungi kepentingan-kepentingan semua pihak. Kalau diikutkan sekarang tidak akan menjadi harmoni. Siapa pun yang menjadi kerajaan di sana akan jatuh dan dikongsikan dalam sistem pergolakan politik hari ini.
Kerana itu, bukan disebabkan lompat parti maka kita dalam keadaan berceranggah hari ini. Tetapi akibat perpecahan oleh kerana banyak sangat parti Melayu.
DIKALAHKAN
Orang Melayu tidak sedar bahawa lagi banyak parti, lagi senang mereka dikalahkan. Tidak ada usaha, waima daripada mana-mana pihak sekarang mahu menyatukan semua parti Melayu. Mungkinkah ini hanya boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong?
Rakyat boleh tengok semua pemimpin hendak menjuarakan hanya partinya. Ini termasuk parti yang sudah kalah teruk. Kita seharusnya fikir lebih selain daripada undang-undang anti lompat parti yang sedang diperbuat.
Jika undang-undang lompat parti ini berkait dengan pindaan Perlembagaan, Alhamdulillah, Artikel 10 itu kalau sudah dipinda, maka berjalanlah impian berkenaan.
Namun, ini hanya menjawab sebahagian kecil masalah perpecahan orang Melayu. Tapi apa penyelesaian terbaik? Bahkan kalau kita lihat yang terlibat ini pun dari kalangan pemimpin yang berkuasa sejak tahun 80an lagi. Jadi, apa penyelesaiannya?
Adakah pertikaian ini harus diselesaikan oleh Majlis Koalisi Melayu misalnya atau Majlis Perpaduan Melayu mesti diwujudkan? Namun usaha ini tidak pula dimasukkan dalam pindaan perlembagaan, jadi mungkin tidak berjaya sepenuhnya.
Hanya dengan meminda Artikel 10 tidak menyelesaikan isu perpecahan dan ketidakstabilan. Ini kerana Melayu berpecah dalam banyak parti sehinga lapan ke sembilan parti. Lompat parti memang salah satu daripada isu, tetapi bukanlah isu yang boleh memenangkan politik Melayu.
Tetapi sekali lagi, penyelesaiannya apa kalau masih ada pemimpin-pemimpin Melayu yang terus mahu berseteru?
Malangnya mereka ini tidak berfikir ke arah itu. Mereka masih berfikir ke arah ‘parti saya, parti saya, parti saya’. Jadi, sampai bila pun orang Melayu tidak akan mendapat kuasa politik majmuk.
Tergantung
Maka, mesti diwujudkan satu muafakat nasional Melayu. Ini harus ada. Kalau tidak ada, rakyat, negara tidak akan berjaya. Tetapi siapa yang akan gerakkan?
Hal ini hanya boleh difikirkan oleh tokoh-tokoh pemimpin parti politik Melayu yang ada. Antaranya Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berserta Abang Mat (Mohamad Sabu). Dan mesti juga difikirkan sama oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang tentang politik Melayu majmuk masa depan.
Pemimpin parti lain seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terlibat dalam itu sebab mengetuai parti majmuk. Bahkan, Lim Guan Eng sendiri demikian juga sebab DAP parti Cina.
Maka, inisiatif mewujudkan muafakat nasional adalah kuasa politik Melayu. Kalau tidak dibuat segera, tidak akan ada jalan keluar. Dan Malaysia akan tergantunglah dalam mencapai matlamatnya sebab segala hari ini mementingkan parti sendiri.
Alangkah baiknya jika satu peruntukan dibuat dalam Perlembagaan Malaysia bahawa atas semangat Rukun Negara mesti ada satu consultative atau majlis konsultatif politik dalam perlembagaan Persekutuan. Tetapi belum ada.
Jadi, tidak ada lah kuasa undang-undang.
Dengan itu kuasa politik sahajalah kalau dapat diwujudkan pun baik. Ini sangat membantu.
Kesamaran definisi lompat parti
1Dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan lawan Nordin Salleh pada 3 April 1992, mahkamah memutuskan bahawa pindaan terhadap perlembagaan Kelantan yang melarang melompat parti tidak sesuai dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan – yang memperuntukkan kebebasan berpersatuan.
2Justeru adakah rancangan pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang tidak dipersetujui oleh Kabinet tetapi selepas itu diteruskan akan merungkai kesamaran sejak 30 tahun lalu terhadap isu lompat parti.
3Bukankah undang-undang anti lompat parti melanggar kebebasan seseorang yang dijamin di bawah konvensyen antarabangsa?
4 Jika dipersetujui oleh Kabinet pun rang undang-undang anti lompat parti ini, sempatkah undang-undang ini disajikan sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Ia bergantung kepada bila Yang di-Pertuan Agong hendak bubarkan Parlimen di bawah kuasanya mengikut Perkara 40. Sekiranya pembubaran berlaku dalam tempoh cepat, dikhuatiri undang-undang ini tidak dapat digunakan dalam tempoh berkenaan. Jika melepasi Julai, tentu sekali undang-undang ini boleh digunapakai.
5 Bila hendak dikenakan penguatkuasaan undang-undang kepada individu yang lompat parti? Misalnya kalangan mereka dalam Bersatu, Pejuang, Muda termasuk juga parti sampingan yang lain – yang mereka semua tertakluk kepada lompat parti.
Kalau undang-undang ini dimuktamad akan berkuat kuasa semenjak sekian tahun, katalah sejak 2018, bukan boleh ‘bungkus tikar semua’?










