Berbuka puasa awal ikut azan radio, perlu ganti puasa - Utusan Malaysia

Berbuka puasa awal ikut azan radio, perlu ganti puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Puasa mereka yang tersalah berbuka puasa awal kerana mengikut azan di radio adalah dikira terbatal dan mereka wajib menggantikan puasa setelah berakhirnya bulan Ramadan.

Demikian pandangan Mufti Negeri Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar mengenai insiden siaran azan Maghrib empat minit lebih awal yang berlaku di radio Tawau FM semalam.

BUNGSU@AZIZ JAAFAR

Beliau berkata, berdasarkan hukum syarak, mereka yang berbuka puasa awal perlu menggantikan puasa tersebut.

Katanya, waktu berbuka puasa adalah bersandarkan kepada terbenamnya matahari berdasarkan nas syarak dan bukannya bersandarkan kepada laungan azan di radio atau seumpamanya serta keadaan langit pada ketika itu.

Walau bagaimanapun, usaha pihak radio menyiarkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka merupakan usaha murni yang sangat baik.

“Namun, pihak radio perlu lebih teliti dan cermat dalam perkara ini bagi mengelakkan daripada berulang perbuatan mengumandangkan azan awal daripada waktunya pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sepanjang pengetahuannya, insiden siaran azan radio lebih awal itu kali pertama seumpamanya berlaku di Sabah.

Justeru, Bungsu @ Aziz menasihatkan umat Islam supaya sentiasa cermat dan berhati-hati berkaitan waktu berbuka puasa. 

Malah, beliau turut menyarankan umat Islam agar merujuk kepada takwim berbuka puasa yang telah dikeluarkan oleh pihak yang berkuasa agama bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

Jelas beliau, diharap dengan penjelasan tersebut ia dapat memberi manfaat kepada umat Islam khususnya mereka yang berada di kawasan yang terlibat, iaitu di Tawau.

Semalam pada hari pertama Ramadan, menerusi ruangan Syoknya Hujung Minggu, DJ radio bertugas dilaporkan tersilap menyiarkan azan Maghrib pada pukul 6.16 petang iaitu empat minit lebih awal daripada waktu sebenar iaitu pada pukul 6.20 petang.

DJ radio iaitu Mohd. Safwan Junit turut membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman Facebook miliknya dengan menyatakan insiden itu berlaku kerana kesilapan teknikal dan kesilapan dirinya sendiri.

Difahamkan DJ yang baharu bertugas di Tawau FM pada tahun lalu itu tidak dibenarkan ditemuramah oleh media susulan insiden itu masih dalam siasatan pihak pengurusan Tawau FM. UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN