Berang tak dapat kunci rumah, suami tampar isteri

Berang tak dapat kunci rumah, suami tampar isteri

S. AGHASITIA Lingam diiring keluar anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memukul isterinya ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hanya kerana berang tidak diberikan kunci rumah, seorang operator kilang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memukul isterinya, minggu lalu. 

Tertuduh, S. Aghasitia Lingam, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah memukul isteri sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera terhadap isteri, K. Kaliamma, 31, dengan cara menampar muka mangsa kira-kira pukul 9 malam di Taman Kerjasama, Bukit Beruang, 8 April lalu. 

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama. 

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Tertuduh juga didakwa telah mengugut mangsa secara jenayah menggunakan perkataan bunuh dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Difahamkan kejadian berlaku selepas mangsa enggan memberikan kunci rumah kepada tertuduh yang didakwa mempunyai masalah sosial berkaitan dadah. 

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan. 

Tertuduh yang diwakili Peguam daripada Biro Bantuan Guaman merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai operator kilang dan perlu menanggung keluarga termasuk dua anak yang masih kecil.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 beserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa.

Mazana kemudian turut menetapkan tarikh 25 Mei depan sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya