KUANTAN: Sistem pembayaran ‘tanpa tunai’ diperkenalkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dalam urusan niaga di 25 lokasi pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri di daerah ini bermula tahun ini.
Datuk Bandar MBK, Datuk Hamdan Hussin berkata, peniaga dan pembeli boleh membuat urus niaga pembayaran jual beli dengan menggunakan aplikasi dompet digital Boost (e-Wallet Boost).
Menurut beliau, dengan cara tersebut mereka dengan mudah dan cepat boleh mengimbas dengan menggunakan kod Respons Pantas (QR).
“Orang ramai yang memuat naik aplikasi ini boleh membeli barang di bazar tanpa perlu mengeluarkan wang tunai tetapi dengan hanya imbas bacaan kod.
“Ini memudahkan peniaga dan tidak perlu bimbang tiada pulangan wang kecil kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sistem pembayaran tanpa tunai diperkenalkan bagi mendidik masyarakat mengguna pakai aplikasi dan kemudahan teknologi digital dalam kehidupan harian.
Dalam pada itu, Hamdan berkata, susulan perkenalan tersebut peniaga dan pembeli dilihat lebih mudah menguruskan aktiviti jual beli yang dilakukan.
“Kita mengharapkan budaya yang cuba diwujudkan dalam kalangan peniaga ini sebagai contoh transaksi tanpa tunai akan dapat mendidik pengguna kerana tempoh Covid-19 ini kita dapat melihat perkara yang berkaitan dengan digital,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kempen-kempen lain seperti Bandar Hijau – Kuantan Go Green, Kitar Semula Minyak Terpakai, Bebas Plastik (No To Plastic) , amalan 3R (pengurang, guna semula dan kitar semula dan Tak Nak Merokok turut dilaksanakan oleh MBK.
“Kita mahu masyarakat dari semua golongan termasuklah peniaga, penjaja, pengusaha dan pengguna dapat menyambut baik pelaksanaan kempen ini dalam usaha mewujudkan masyarakat yang sihat, produktif dan mampu melahirkan modal insan yang dapat meneraju pembangunan pada masa hadapan,” ujarnya.- UTUSAN