Dua lelaki maut, lori muatan ayam terbalik - Utusan Malaysia

Dua lelaki maut, lori muatan ayam terbalik

KEADAAN lori yang terbalik menyebabkan dua maut di Kilometer 194.7, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Sitiawan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Dua lelaki maut selepas lori membawa muatan ayam yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 194.7, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Sitiawan, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 10.11 pagi dengan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dihantar ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya anggota dan jentera di lokasi kejadian, didapati lori muatan ayam itu telah terbalik di bahu jalan.

“Terdapat dua lelaki telah terkeluar dari kenderaan dan tersepit di tepi lori. Kedua-dua mangsa berusia antara 30 hingga 45 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketua operasi seterusnya melaksanakan penilaian risiko sebelum mengaplikasikan konsep ‘saver’ dan mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan penyelamat.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi yang disertai tujuh anggota bersama sebuah jentera itu tamat sepenuhnya pada pukul 11.32 pagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN