BATU GAJAH: Bantal busuk dan kain basahan dua beradik yang maut dalam kebakaran rumah kedai di Seri Iskandar di Parit pagi kelmarin menjadi pengubat rindu pasangan suami isteri, Mohd. Fazlan Nizam Mohamed Hamidi, 37, dan Mimi Doleng, 28, terhadap anak mereka yang telah tiada.
Menurut Mohd Fazlan, dia dan isteri memberanikan diri pergi ke bangunan rumah kedai makan tomyam yang mereka usahakan sejak setahun lalu semalam bagi mengutip barang-barang anak mereka yang tidak rosak.
Mereka tidak dapat menahan sebak apabila melihat kediaman di tingkat dua bangunan tersebut musnah dalam insiden yang meragut nyawa anak sulung mereka Muhammad Fahmi 6, dan adiknya, Nur Fahmia, enam bulan.
“Saya dan isteri mengambil bantal busuk Muhammad Fahmi dan kain basahan serta getah rambut Nur Fahmia lalu memeluk dan menciumnya bagi melepaskan kerinduan kami kepada anak-anak.
“Sakitnya, Allah sahaja yang tahu, selalu mereka berdua, ada bersama kami. Tidak pernah berpisah tetapi hari ini suara mereka tidak lagi kedengaran dan kami rasa sangat sunyi.
“Saya tahu ini ujian Allah kerana itu saya berpesan pada diri dan isteri agar reda dan kuat menerima ketentuan ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintenden Mohd. Uzir Ismail di kediaman ibu bapanya di Taman Tasek Putra, Tronoh di sini semalam.
Ditanya bagaimana keadaan isterinya, Mohd Fazlan berkata, isterinya masih terkejut dan mengigau menyebut nama kedua-dua anaknya ketika tidur semalam dan lebih banyak berdiam diri.
“Dia masih bersedih, dia yang mengandungkan mereka sembilan bulan kemudian mereka pergi serentak. Ini bukan mudah, sampai dia mengigau menyebut nama anak-anak,” katanya.
Sementara itu, Mimi meluahkan kesedihannya kerana terkenang Nur Fahmia yang masih menyusu badan dan tidak pernah lekang dari dakapannya sejak lahir.
Katanya, dari petang semalam dia mengalami bengkak susu disebabkan bayinya itu sudah tiada untuk menyusu.
“Kadang-kadang saya terbayang dia sedang menyusu tetapi sebenarnya dia sudah tiada.
“Susah nak terima tapi saya reda. Pagi tadi, lepas ambil bantal busuk Fahmi dan kain Mia, terubat sedikit kedukaan dan kerinduan saya pada mereka,” katanya.
Sementara itu, jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Bali, Tronoh petang semalam.
Dua beradik itu maut dalam kebakaran sebuah rumah kedai di Persiaran SIBC 1, Seri Iskandar di Parit pada pukul 5 pagi semalam.
Kebakaran melibatkan bangunan tiga tingkat di mana bahagian bawahnya merupakan kedai makan manakala tingkat dua pula merupakan kediaman pekerja kedai makan berkenaan manakala tingkat atas pula kosong.
Kebakaran berlaku di tingkat dua yang mempunyai dua bilik yang menempatkan pekerja dan dua beradik tersebut.
Semasa kejadian, hanya tinggal dua kanak-kanak tersebut di tingkat dua manakala ibu bapa dan pekerja lain berada di tingkat bawah sedang bersahur.
Pihak bomba berjaya membawa keluar kedua-dua kanak-kanak yang terperangkap itu dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan kebakaran nyata di tubuh badan.
Mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas dibawa ke Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan di Parit.- UTUSAN










