KANGAR: Bank Rakyat menyasarkanempat buah Desa Tanpa Tunai diwujudkan di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad berkata, inisiatif tersebut bertujuan memberi nafas baharu kepada penduduk luar bandar selaras dengan keperluan semasa.
Katanya yang juga Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, pembelian dalam talian dan transaksi tanpa tunai terus meningkat ketika ini selain ramai yang tidak lagi menggunakan wang kertas ketika berurusan di kedai-kedai.
“Sejak kita memperkenal kempen ini, semakin ramai penduduk luar bandar membuka akaun Bank Rakyat dan mereka mendapati pembelian secara dalam talian amat mudah,” katanya ketika ditemui pada Program Santai Namun Sampai Ramadan 2022 di Kampung Warna-Warni Seberang Ramai, di sini hari ini.
Perasmian program tersebut disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Menurut Suriani, transaksi tanpa tunai menjadi trend semasa dan kaedah tersebut sekurang-kurangnya dapat mengurangkan sentuhan fizikal sebagai langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh peralihan endemik ini.
“Malah, pelancaran Desa Tanpa Tunai di kawasan Chuping bakal memberi pendedahan kepada penduduk kampung mengenai kaedah transaksi tanpa tunai,” katanya.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, usaha Bank Rakyat memperkena program Desa Tanpa Tunai sangat baik seterusnya memberi kemudahan kepada penduduk.
“Ia dilihat sebagai suatu langkah ke hadapan bagi memberi nafas baharu kepada penduduk sekitar kawasan luar bandar.
“Saya juga mengucapkan syabas dan tahniah atas inisiatif institusi perbankan tersebut yang sentiasa komited menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat menerusi pelbagai program keusahawan,” titah baginda. – UTUSAN