PETALING JAYA: Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meminta komposisi Lembaga Disiplin parti itu diganti kerana mendakwa wujud konflik berkepentingan dalam kalangan beberapa ahli panel berkenaan.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, kebimbangan itu timbul berikutan panel berkenaan dipengerusikan Datuk Mohammed Radzi Manan yang juga bapa mentua kepada Naib Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Katanya, permintaan itu dibuat bagi memastikan prosiding terhadap pertuduhan ke atas dirinya dapat dijalankan secara adil tanpa sebarang pengaruh luar.
“Saya minta komposisi keanggotaan Lembaga Disiplin itu diganti kerana pada khidmat saya, ada beberapa anggota di dalamnya merupakan orang yang ada kepentingan atau conflict of interest dengan kepimpinan tertinggi parti.
“Lembaga Disiplin yang ada hari ini mungkin mempunyai ada kecenderungan yang berat sebelah. Jadi saya mohon supaya beberapa anggota di dalamnya diganti sebelum prosiding diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri prosiding bersama Lembaga Disiplin di Ibu Pejabat Bersatu, hari ini.
Semalam, media melaporkan enam pemimpin Bersatu akan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin atas beberapa dakwan yang berbeza.
Antara yang dipanggil termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan lima lagi Ketua Bahagian parti itu.
Tambah Wan Ahmad Fayhsal, beliau juga bersedia dipanggil semula selepas pertukaran panel bagi berdepan dakwaan dalaman melibatkan pemilihan parti itu pada November lalu.
“Kami mempunyai bukti bahawasanya kalau diteruskan juga, kami yakin ada usul-usul yang berat sebelah boleh timbul atas dasar konflik berkepentingan.
“Saya bersedia dipanggil semula untuk membela diri saya. Saya bukan nak lari, saya bukan tidak mahu jawab. Saya bersedia, cuma saya minta mohon prosiding ini ditanggungkan supaya ada keanggotaan baharu.
“Tukar kepada yang lebih bebas, yang tiada konflik berkepentingan. Tidak kisah siapa. Kita berani kerana benar. Kita lawan Najib Razak dulu, kita lawan Anwar Ibrahim. Takkan benda ni saya tak berani,” katanya. – UTUSAN










