Hakim baharu dengar kes Na’imah

Hakim baharu dengar kes Na’imah

TOH Puan Na'imah Abdul Khalid ketika hadir pada prosiding pertuduhan gagal mengisytiharkan aset di Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes gagal mematuhi notis isytihar harta membabitkan isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi baharu.

Ia susulan Hakim K. Muniandy akan memulakan tugas sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Hakim K. Muniandy pada sebutan kes di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, namun hakim baharu akan mendengar kes itu masih belum ditentukan.

Selain itu, Hakim Muniandy memerintahkan kedua-dua permohonan iaitu perintah penangguhan (stay order) dan permohonan pemindahan kes yang dibuat oleh pihak pendakwaan sebelum ini dibatalkan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihak pendakwaan bersetuju supaya permohonan di bawah Seksyen 30(2) dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA) yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didengar di mahkamah sama.

Pihak pendakwaan turut menarik balik permohonan perintah penangguhan serta membuat aku janji untuk menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 21 Ogos lalu, yang membenarkan Na’imah merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, peguam bela, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar yang mewakili Na’imah, memaklumkan bahawa pihaknya bersetuju dengan semua perkara yang dinyatakan oleh pendakwaan.

Hakim Muniandy kemudian menetapkan 10 November ini sebagai tarikh pengurusan kes seterusnya.

Sementara itu, perbicaraan kes Na’imah di Mahkamah Sesyen kekal digantung sebagaimana perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 21 Ogos 2024 sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap persoalan undang-undang yang sedang dipertimbangkan.

Na’imah, 68, didakwa pada 23 Januari lalu kerana gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 berhubung pengisytiharan aset termasuk kepentingan dalam Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd., dua kereta Mercedes-Benz serta beberapa hartanah di Bukit Tunku, Taman Tunku, Jalan Cantonment Road di Pulau Pinang dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr. Ismail.

Beliau turut memohon agar persoalan undang-undang berkaitan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN