Pendakwaan rayu keputusan benarkan Na’imah rujuk persoalan undang-undang

Pendakwaan rayu keputusan benarkan Na’imah rujuk persoalan undang-undang

ISTERI kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang membenarkan permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan pertuduhan gagal mengisytiharkan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rayuan tersebut difailkan pada 27 Ogos lalu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Pada 21 Ogos lalu, Hakim K. Muniandy membenarkan permohonan semakan yang difailkan oleh isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin selepas mendapati permohonan itu bukan sesuatu yang remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah, sebaliknya mengandungi isu undang-undang penting yang perlu diperhalusi di peringkat lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengendalikan pendakwaan turut memohon agar prosiding di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara rayuan berkenaan diputuskan.

“Pada prosiding hari ini, pihak-pihak sepatutnya berhujah mengenai permohonan penangguhan, namun kami memohon lebih masa untuk menjawab afidavit responden yang hanya difailkan pada Jumaat lalu,” katanya.

Permohonan penangguhan itu difailkan pendakwa raya melalui SPRM di bawah Seksyen 30 (2) dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 serta disokong melalui afidavit oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadli Mohd. Zamry.

Bagaimanapun, peguam Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar berkata, pihaknya bersedia untuk meneruskan prosiding kerana isu yang dibangkitkan hanya melibatkan persoalan undang-undang dan bukannya fakta.

Mahkamah menetapkan 8 Oktober ini bagi mendengar permohonan penangguhan prosiding (stay of proceeding).

Menurut dokumen permohonan penangguhan, SPRM berkata, terdapat keadaan istimewa (special circumstances) dan kepentingan awam yang mewajarkan prosiding digantung sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

SPRM berkata, hak responden tidak akan terjejas kerana tindakan penyitaan telah dibuat dan status quo kekal sehingga rayuan diputuskan.

Na’imah, 68, didakwa pada 23 Januari 2025 kerana gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 36 (1) (b) Akta SPRM 2009 berhubung pengisytiharan aset termasuk kepentingan dalam Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd., dua kereta Mercedes-Benz, beberapa hartanah di Bukit Tunku, Taman Tunku, Jalan Cantonment Road di Pulau Pinang serta Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr. Ismail.

Beliau memohon agar persoalan undang-undang berkaitan Seksyen 30 (5), Seksyen 36 (2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 32 (3) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN