KUALA PILAH: Hasrat seorang penolong pegawai di Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk berkahwin hujung tahun ini tidak kesampaian selepas meninggal dunia apabila kereta dipandunya dihempap pokok di Kampung Kuala Dioh, di sini, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.52 malam itu, mangsa, Muhammad Nawawi Husin, 39, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit dalam kenderaan jenis Perodua Viva yang dipandunya.
Menurut adik mangsa, Hud Abdul Hashim, 28, kali terakhir dia berjumpa dengan abang sulungnya itu pada pagi semalam.
“Saya tinggal bersamanya di rumah sewa di Seremban, abang tidak tunjuk apa-apa perubahan pun. Ikut perancangannya abang akan berkahwin dengan rakan setugas di MAINS pada bulan Disember ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini, hari ini.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan, Jabatan Pentadbiran dan Strategik, MAINS, Wan Aminuddin Wan Abdullah berkata, arwah merupakan kakitangan yang baik dan menyertai MAINS sebaik sahaja tamat belajar di Jordan sebagai Imam Eksekutif.
Menurutnya, arwah sudah bertugas bersama MAINS lebih 10 tahun lalu serta baharu sahaja setahun lebih berkhidmat di Jempol.
“Biasanya arwah akan bawa motosikal berkuasa tingginya. Namun, bila dimaklumkan kali ini, arwah memandu kereta dan ditimpa musibah, kami terkejut. Ini merupakan kehilangan buat MAINS,” katanya.
Menurutnya, arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Simpang Gelami di Jelebu, selepas solat Zuhur.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya dihempap pokok tumbang di Jalan Kampung Kuala Dioh, di sini, malam semalam. – UTUSAN










