MAINS tidak berkompromi isu penyelewengan wang zakat, beri kerjasama penuh - Utusan Malaysia

MAINS tidak berkompromi isu penyelewengan wang zakat, beri kerjasama penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidak patuhan dalam pengurusan wang zakat.

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Abdul Kadir berkata, pihaknya mengalu-alukan kenyataan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membuka semula kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat di Negeri Sembilan.

“Isu ini telah disiasat oleh pihak berkuasa bermula tahun 2019 lagi. Sehubungan dengan itu, MAINS komited memberi kerjasama penuh melalui siasatan yang akan dijalankan oleh agensi penguat kuasa berkaitan.

“MAINS berharap siasatan dapat dijalankan secara terperinci, tuntas dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidak patuhan pengurusan wang zakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz, laporan hasil siasatan tersebut juga amat penting bagi membersihkan imej MAINS dan mengembalikan keyakinan masyarakat Islam terhadap tata kelola pengurusan zakat di Negeri Sembilan.

Semalam, media melaporkan Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan kes dakwaan penyelewengan wang zakat yang dikaitkan dengan MAINS dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.

Pada 8 Februari lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam MAINS.

Kemudian SPRM mengesahkan hasil siasatan berhubung isu dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan Mains Zakat Sdn. Bhd. pada 2019  telah selesai dan tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, siasatan kes tersebut dibuka di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan.

Selain itu, MAINS mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan dan telah membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik media sosial terbabit.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan berlakunya penyelewengan pengurusan wang zakat di Negeri Sembilan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya