Dakwaan salah guna wang zakat: Kertas siasatan dirujuk semula kepada DPP - Utusan Malaysia

Dakwaan salah guna wang zakat: Kertas siasatan dirujuk semula kepada DPP

SPRM mengesahkan kertas siasatan melibatkan kes dakwaan penyelewengan pengurusan wang zakat MAINS kini dirujuk semula kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kes dakwaan penyelewengan pengurusan wang zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kini telah dikaji semula dan arahan untuk siasatan lanjut dijalankan telah dikeluarkan.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, keterangan-keterangan yang ada berkaitan kes itu akan dilihat dan kertas siasatan kini dirujuk semula kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“SPRM ingin menjelaskan bahawa kes berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan MAINS telah pun dibuka dan disiasat pada tahun 2019 dengan fokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa. 

“Kes tersebut telah dikaji semula untuk melihat keterangan-keterangan yang ada. Kertas siasatan kini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan telah dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan berlakunya penyelewengan pengurusan wang zakat di Negeri Sembilan.

Pada 8 Februari lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam MAINS.

Kemudian, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail pula mengesahkan hasil siasatan berhubung isu dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan MAINS Zakat Sdn. Bhd. pada 2019 tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, siasatan kes tersebut dibuka di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan.

Selain itu, Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Abdul Kadir pula mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan.

Abdul Aziz berkata, MAINS telah membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik media sosial terbabit susulan tohmahan dan fitnah yang disebarkan pada tahun 2019.

Pada 10 Februari lalu, Pengerusi (Penaja) Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin hadir ke Pejabat SPRM Negeri Sembilan di sini dan tampil dengan beberapa dokumen berhubung dakwaan tersebut.

Beliau menyerahkan dokumen tersebut kepada pihak SPRM dan mendesak supaya dakwaan itu disiasat semula.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.