18 pelajar UUM ditawar kerja gaji RM4,200 sebelum konvokesyen

18 pelajar UUM ditawar kerja gaji RM4,200 sebelum konvokesyen

MOHD. Foad Sakdan (tengah) dan pengurusan PKT Logistics Group bersama 18 pelajar yang terlibat dalam program EMT pada Majlis Graduasi di UUM Sintok, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Belum sempat mengenakan jubah konvokesyen pada bulan depan, seramai 18 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini sudah menerima tawaran kerja dengan gaji permulaan sebanyak RM4,200 sebulan.

Kesemua mereka adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan), Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Operasi dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi yang merupakan peserta program Elite Management Trainee (EMT).

Program hasil kerjasama strategik antara Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) UUM dengan PKT Logistics Group Sdn. Bhd. itu berlangsung selama setahun melalui proses pemilihan dan latihan industri yang intensif.

Salah seorang mereka, Nurhanis Azman, 23, berkata, program EMT memberikan pengalaman yang hebat kepadanya, sekali gus mengubah cara mereka melihat dunia pekerjaan.

“Ia sangat mencabar tetapi berharga kerana membuka mata kami kepada realiti sebenar industri logistik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Program EMT di Pusat Islam UUM, di sini.

Ooi Jun Wei, 23, pula berkata, pengalaman bekerja dalam pasukan pelbagai budaya menjadikannya lebih yakin dan bersedia menyumbang idea baharu.

“Saya belajar bagaimana disiplin dan kepemimpinan menjadi tunjang kejayaan organisasi besar. Kini saya lebih faham tanggungjawab sebagai pengurus masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, semua pelajar terbabit menjalani beberapa peringkat latihan antaranya latihan industri semasa cuti semester di cawangan PKT di Batu Kawan, Pulau Pinang dan seluruh negara serta latihan praktikum sepenuh masa pada semester akhir.

Katanya, pelajar juga menjalani pertukaran jabatan selama tiga peringkat bagi melengkapkan kefahaman menyeluruh terhadap operasi logistik sebenar.

“Garis masa program yang tersusun rapi bermula Januari 2024 hingga Ogos lalu telah mempersiapkan mereka bukan sahaja sebagai graduan, malah bakal eksekutif pengurusan dalam industri logistik moden,” katanya.

Tambahnya, kejayaan 18 pelajar itu amat membanggakan apabila Ketua Pegawai Eksekutif PKT Logistics, Datuk Seri Dr. Michael Tio berpuas hati dengan prestasi mereka lalu menaikkan gaji permulaan daripada RM4,000 kepada RM4,200 sebulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN