UUM maklumkan pembatalan dewan sejak 1 Dis, pinjamkan jubah kepada SADA

UUM maklumkan pembatalan dewan sejak 1 Dis, pinjamkan jubah kepada SADA

AHMAD Martadha Mohamed menunjukkan papan projek menaik taraf dan membaik pulih kemudahan di Bangunan Dewan Mu’adzam Shah UUM di Changlun, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) sudah memaklumkan lebih awal kepada penganjur Majlis Graduasi Syarikat Air Darul Aman (SADA) bahawa penggunaan Dewan Mu’adzam Shah tidak dapat diteruskan ekoran mengalami kerosakan pada struktur bumbung.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang menjalankan tugas Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, ia sudah dimaklumkan pada 1 Disember lalu setelah mendapat pandangan pelbagai pihak tentang tahap keselamatan dewan.

Katanya, UUM turut mencadangkan lokasi alternatif kepada pihak penganjur iaitu Pusat Pembangunan Eksekutif UUM (UUM-EDC) yang terletak bersebelahan kampus.

“Sejak 1 Disember selepas dapat pandangan pelbagai pihak termasuk Jabatan Pembangunan UUM yang menyatakan Dewan Mu’adzam Shah tak sesuai digunakan atas faktor keselamatan, maka kita telah beri beberapa alternatif.

“Bagi saya kita telah buat yang terbaik untuk bantu melancarkan Majlis Graduasi SADA dan saya rasa sejak 1 Disember hingga tarikh penganjuran 11 Disember adalah tempoh cukup baik untuk penganjur cari tempat, di samping kita juga sedia tempat alternatif untuk mereka,” katanya hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kesal dengan sikap pengurusan UUM yang didakwa membatalkan pada saat akhir penggunaan dewan untuk Majlis Graduasi SADA yang pertama, Khamis lalu.

Katanya, walaupun alasan pembatalan disebabkan pengubahsuaian Dewan Mu’adzam Shah, beliau mendakwa perkara itu sebenarnya berlaku disebabkan perbezaan fahaman politik antaranya dengan pihak yang dilabelnya sebagai ‘Universiti UMNO Malaysia’.

Ahmad Martadha berkata, struktur bumbung Dewan Mu’adzam Shah mengalami kerosakan akibat hujan lebat sebelum 1 Disember yang menyebabkan ia tidak boleh digunakan bagi sebarang penganjuran program berskala besar buat sementara waktu.

Katanya, keputusan itu juga selaras dengan notis edaran melalui e-mel pada 7 Mac lalu kepada semua staf UUM bahawa Dewan Mu’adzam Shah, Teater Eksperimen dan Dewan Tan Sri Othman terlibat dengan projek menaiktaraf dan membaik pulih.

“Ia membabitkan penggantian bumbung dan pembaikan infrastruktur mulai 14 Mei 2025 hingga 14 November 2027. Kerja-kerja tersebut hanya ditangguhkan sementara untuk memberi laluan kepada Majlis Konvokesyen UUM pada November lalu,” ujarnya.

Beliau berkata, sebagai sebuah institusi awam yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan kebajikan pengunjung, UUM bertanggungjawab memastikan setiap fasiliti berada dalam keadaan selamat sebelum digunakan.

Katanya, keselamatan dan keselesaan warga kerja SADA yang hadir ke majlis itu menjadi pertimbangan utama mereka dan penggunaan Dewan Mu’adzam Shah tidak dapat dipertimbangkan demi mengelakkan sebarang risiko.

“Walaupun berlaku pertukaran lokasi majlis, pihak UUM tetap memberikan sokongan penuh kepada penganjuran program tersebut. UUM telah membantu dengan menyediakan pinjaman jubah, sebahagian kerusi serta pelbagai kemudahan lain yang mampu memastikan kelancaran majlis berkenaan.

“UUM menghargai hubungan baik dengan SADA dan sentiasa bersedia bekerjasama dalam program-program melibatkan masyarakat serta rakan strategik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN