SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar bakat yang sepadan dengan kehendak industri apabila graduan bidang logistik dan multimedia universiti itu dinobatkan di tempat pertama Malaysia menerusi Talentbank Graduate Employability Index 2026.
Pengiktirafan itu sekali gus menandakan kekuatan UUM bukan sekadar pada kadar kebolehpasaran graduan, malah pada tahap keyakinan majikan terhadap kesediaan graduannya untuk terus mengisi keperluan sebenar pasaran kerja.
Pada masa yang sama, Talentbank turut mengiktiraf graduan program perakaunan, pengurusan perniagaan dan pengurusan sumber manusia UUM sebagai pilihan utama majikan syarikat multinasional (MNC) yang beroperasi di negara ini.
Lebih signifikan, tiga bidang pengajian UUM iaitu perbankan, pengurusan hospitaliti dan pengurusan sumber manusia turut diletakkan dalam kelompok tiga terbaik negara bagi tempoh lima tahun berturut-turut.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pengiktirafan diumumkan pada 11 April lalu itu dibuat berasaskan analisis membabitkan 1,200 majikan di seluruh Malaysia.
“Majikan berpuas hati dengan graduan UUM malah menunjukkan tahap keyakinan industri terhadap kualiti graduan dilahirkan UUM dari segi kesediaan mereka memasuki alam pekerjaan dan kompetensi profesional,” katanya.
Laporan terbaharu itu turut mencerminkan kepercayaan majikan terhadap prestasi graduan UUM di tempat kerja sehingga mendorong pengambilan berulang berasaskan pengalaman positif sebelum ini.
Pengiktirafan tersebut selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang terus memberi penekanan terhadap agenda kebolehpasaran graduan nasional.
“Dalam keputusan Kajian Pengesanan Graduan UUM sebelum ini juga menunjukkan universiti mencapai tahap kebolehpasaran graduan mencecah 96.6 peratus.
“UUM hari ini tidak boleh terpisah daripada realiti dunia pekerjaan dan kebolehpasaran graduan kerana keupayaan institusi dilihat melalui keupayaan memenuhi keperluan masyarakat dan negara,” katanya.
Sehingga kini, UUM telah melahirkan 179,254 graduan dalam pelbagai bidang sepanjang 42 tahun penubuhannya, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai antara institusi utama pembinaan modal insan negara. – UTUSAN










