ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kesal dengan sikap pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang membatalkan penggunaan dewan untuk Majlis Graduasi Syarikat Air Darul Aman (SADA), semalam.
Katanya, walaupun alasan pembatalan disebabkan pengubahsuaian Dewan Mu’adzam Shah, namun mendakwa perkara itu sebenarnya berlaku disebabkan perbezaan fahaman politik antara beliau dengan pihak yang dilabelnya sebagai ‘Universiti UMNO Malaysia’.
“Sejak 2008 sampai 2025, ada beberapa peristiwa dengan UUM. Daripada isu tanah, isu air dan kali ini isu graduasi. Puncanya bukan apa, sebab saya parti lain sahaja.
“Saya tahulah UUM itu Universiti UMNO Malaysia. Kalau saya sebut, malu pada orang, tetapi tidak boleh hingga ke tahap itu,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi SADA 2025 yang pertama di sebuah dewan di Titi Gajah, semalam.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi SADA menyatakan perkara itu apabila UUM membatalkan penggunaan Dewan Mu’adzam Shah dua hari sebelum acara berlangsung sehingga majlis graduasi terpaksa dipindahkan ke lokasi baharu dalam tempoh singkat.
Majlis itu bagi meraikan 315 warga SADA yang menamatkan program pengajian merangkumi Sijil Kemahiran Malaysia, Sijil Eksekutif Tahap 1 dan Tahap 2 serta Program Kepimpinan Strategik melalui kerjasama bersama Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) UUM dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JKP).
Beliau berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan yang dibina atas tanah seluas 1,000 hektar di Kedah, UUM seharusnya menjadi penyumbang kepada ketamadunan serta keterbukaan dan bukan bertindak mengikut sentimen politik.
“Kita bangga UUM ada di Kedah, tetapi kita tidak suka dengan perangai seperti itu. Jangan berpolitik di universiti. Jika mahu berpolitik, bertanding dalam pilihan raya. Turun lawan saya di Jeneri. Siapa pun boleh datang,” katanya.
Ujar beliau, semua tindakan yang tidak mencerminkan akademia tidak boleh dipraktikkan di universiti, termasuk oleh kepimpinan universiti dan kementerian yang mengawal universiti.
“Semua negeri, pemimpin dan kerajaan ada maruah. Jangan diperkotak-katikkan orang, jangan buat sembarangan. Jangan buat mudah perasaan dan pandangan orang lain kepada kita. Orang lain tidak bodoh kalau kita cerdik,” katanya.
Tambahnya, pihak universiti tidak boleh memperkecilkan pihak lain biarpun atas perbezaan politik kerana masyarakat sentiasa memandang tinggi kepada golongan akademik, namun tindakan mereka tidak mencerminkan nilai intelektual yang sepatutnya dijunjung.
Katanya, universiti sebagai gedung ilmu sepatutnya menunjukkan contoh terbaik kepada masyarakat dan bukannya melakukan tindakan yang tidak mencerminkan tradisi keilmuan, ketamadunan dan kepimpinan.
“Orang yang terlalu lama duduk di universiti tidak hargai keberadaan mereka di situ. Pandangan tinggi kepada masyarakat terpelajar, tetapi buat kelakuan yang tidak sesuai dengan kelayakan. Kita tahu walaupun kita tak cakap dan kita faham apa mereka tunjukkan,” katanya.
Beliau bagaimanapun menghargai pensyarah UUM yang terlibat dan penganjur yang memastikan majlis graduasi berjalan lancar meskipun perubahan pada saat akhir, namun tidak teragak-agak untuk tidak meneruskan program khas itu pada masa hadapan sekiranya pihak terlibat tidak berubah. – UTUSAN











