PETALING JAYA: Sebanyak 19,345 laporan membabitkan kerugian RM75.4 juta berkaitan jenayah penipuan kewangan direkodkan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam tempoh dua tahun ini.
Jumlah ini melibatkan 9,158 aduan dengan nilai kerugian RM39.2 juta pada 2021 manakala pada tahun sebelumnya iaitu 10,187 kes (RM36.2 juta).
Memberitahu Utusan Malaysia, sumber Bank Negara berkata, dalam tempoh tersebut, penipuan pelaburan Internet mencatatkan laporan tertinggi iaitu sebanyak 6,611 aduan dengan kerugian kira-kira RM20 juta.
Katanya, pihaknya turut menerima 4,278 aduan berkaitan penipuan telefon melibatkan kerugian RM14 juta diikuti kesalahan menyalah guna logo dan pegawai BNM iaitu 2,364 kes (RM3 juta).
“Selain itu sebanyak 1,500 penipuan pancing data diterima membabitkan jumlah kerugian RM6 juta.
“Bagi penipuan ini, pelbagai taktik digunakan termasuk menerusi panggilan telefon, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) secara rambang menyerupai pesanan bank dan juga kiriman emel bagi memperdaya pengguna supaya menyerahkan maklumat peribadi seperti nama dan kata laluan akaun perbankan Internet dengan tujuan memperoleh nombor Transaction Authorization Code (TAC) atau One-Time PIN (OTP) mereka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, sumber BNM berkata, dalam tempoh dua tahun ini, kira-kira 1,236 aduan berkaitan penipuan pinjaman bank dengan kerugian RM2 juta turut direkodkan.
Ujarnya, pada tahun lalu, jumlah aduan yang diterima BNM menurun sebanyak 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya namun jumlah kerugian dicatatkan meningkat kira-kira 7.6 peratus.
“Pelbagai inisiatif dijalankan bagi mmpertingkatkan kesedaran orang ramaidaripada menjadi mangsa penipuan kewangan.
“Antaranya, kempen, infografik, dan modul pembelajaran telah dijalankan secara konsisten selain menjalinkan kerjasama erat dengan pelbagai persatuan pengguna, badan bukan kerajaan serta persatuan perniagaan dan perindustrian dalam menyampaikan maklumat terus kepada pengguna kewangan supaya lebih berwaspada dengan sindiket penipuan kewangan,” ujarnya.
Katanya, BNM juga telah mengeluarkan garis panduan kepada semua institusi kewangan yang antara lainnya menggariskan keperluan untuk memperkasa ciri-ciri keselamatan minimum bagi perbankan seperti keperluan pengesahan transaksi pelanggan, pemakluman transaksi dan usaha wajar pelanggan (customer due dilligence) semasa membuka akaun bank.
Jelasnya, keperluan ini penting bagi memastikan institusi kewangan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mengenal pasti, mengesan dan mengawal kes penipuan kewangan daripada berleluasa.
“Beberapa saluran bagi meningkatkan kesedaran orang ramai diwujudkan supaya terhindar daripada menjadi mangsa penipuan antaranya memaparkan Senarai Amaran Pengguna Kewangan dan Senarai Amaran Penipuan Kewangan.
“Selain itu, laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mempunyai senarai status pendaftaran syarikat jualan langsung manakala Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) juga telah mengambil langkah menyenaraikan nama syarikat yang disyaki menjalankan skim-skim haram melalui Investor Alert List,” jelasnya. – UTUSAN










